Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Enggan Padam Akaun TikTok, Bapa Tembak Anak Hingga Mati
Pakistan — Seorang bapa menembak mati anak perempuannya selepas mangsa dipercayai enggan memadam akaun TikTok miliknya dalam kejadian di Rawalpindi, pada Selasa.
Memetik laporan AFP, suspek menganggap tindakan membunuh anaknya yang berusia 16 tahun itu sebagai ‘penghormatan’.
“Bapa gadis itu telah memintanya memadamkan akaun TikTok dan dia tidak melakukannya. Disebabkan itu, bapanya bertindak membunuhnya,” kata jurucakap polis kepada AFP.
Keluarga mangsa pada awalnya mendakwa bahawa mangsa menamatkan riwayat hidup sendiri. Namun siasatan mengatakan yang sebaliknya, justeru suspek telah ditahan oleh pihak polis.
Kejadian seperti ini bukan pertama kali berlaku di negara terbabit. Bulan lalu, seorang pempengaruh TikTok berusia 17 tahun dibunuh di rumahnya oleh seorang lelaki.
Menurut media Pakistan, Samaa TV, Sana Yousaf telah ditembak dua kali dalam jarak dekat. Suspek dipercayai berbual dengan Sana di luar rumahnya sebelum masuk dan melepaskan tembakan.
Manakala di barat daya Balochistan pada awal tahun ini, seorang lelaki mengaku menjadi dalang pembunuhan anak perempuannya yang berusia 14 tahun. Dia bertindak sedemikian kerana mangsa membuat video TikTok yang dianggap menjejaskan ‘kehormatannya’.
Untuk pengetahuan, TikTok sangat popular di Pakistan dan kebanyakan wanita di sana menjana pengikut dan pendapatan menerusi aplikasi itu.
Bagaimanapun, hanya 30 peratus wanita di Pakistan memiliki telefon pintar berbanding lelaki (58 peratus).
Sementara itu, pihak berkuasa telekomunikasi Pakistan juga telah berulang kali menyekat atau mengancam untuk menyekat aplikasi itu atas alasan ‘tingkah laku yang tidak bermoral’.
Sumber: AFP