Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah
Tiada Kategori

“Sentuhan Wira” Imbau Piala Thomas 1992, Bakal Diangkat Ke Layar Perak

Hannah
sentuhan wira
Gambar: BERNAMA

“Sentuhan Wira” Imbau Piala Thomas 1992, Bakal Diangkat Ke Layar Perak

Siapa mampu lupa detik bersejarah yang menyatukan jutaan rakyat Malaysia, menyaksikan nama wira-wira negara dijulang seantero dunia?

Kini, detik keramat itu bakal diangkat ke layar perak menerusi filem epik sukan bertajuk “Sentuhan Wira”. Istimewanya, ia bakal diwarnai dengan cetusan idea dua legenda badminton negara, Datuk Rashid Sidek dan Datuk Cheah Soon Kit.

Filem terbitan Victory Pictures ini secara rasmi dilancarkan menerusi majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) di Grand Hyatt Kuala Lumpur, pada Rabu.

Hadir sama, wakil rasmi FINAS, YB Dato’ Gerald Hans Isaac serta beberapa bekas pemain skuad Piala Thomas 1992.

Kisah benar yang pernah ‘gegarkan’ Malaysia

Tahun 1992, Stadium Negara Kuala Lumpur menjadi saksi detik bersejarah buat negara.

Malaysia akhirnya menamatkan penantian 25 tahun apabila skuad badminton lelaki negara menewaskan musuh tradisi, Indonesia, dalam perlawanan akhir Piala Thomas yang mendebarkan.

Kemenangan 3-2 itu bukan sekadar mencatat sejarah dalam arena sukan, tetapi membangkitkan gelombang patriotisme yang tidak pernah dirasai sebelum ini.

Jalan raya dibanjiri rakyat dari pelbagai kaum, bunga api menerangi langit malam dan Jalur Gemilang berkibar di setiap penjuru negara.

Lebih dari sekadar filem, “Sentuhan Wira” bukti penyatuan bangsa Malaysia

“Ini bukan sekadar filem badminton, tetapi naskhah sinematik tentang perjuangan, kepercayaan dan kebanggaan sebagai rakyat Malaysia.

“Kami ingin generasi muda hari ini merasai getaran semangat yang sama dan meneruskannya,” kata Datuk Rashid Sidek, Jurucakap Victory Pictures.

Untuk info, beliau bersama Datuk Cheah Soon Kit terlibat secara langsung dalam penyelidikan dan pembangunan skrip. Ini bertujuan untuk memastikan setiap emosi, strategi dan semangat pasukan 1992 dihidupkan semula.

Akan diarahkan oleh pengarah muda berbakat, Lenny Ooi, filem ini menjanjikan lebih daripada sekadar aksi di gelanggang.

Ia bakal membawa penonton menyusuri detik-detik getir, perjuangan peribadi setiap pemain, konflik emosi dan semangat juang yang menyatukan sebuah pasukan demi negara.

Uji bakat terbuka seluruh negara

Dalam usaha mengangkat filem ini sebagai naskhah nasional, produksi Sentuhan Wira bakal menganjurkan uji bakat terbuka di seluruh negara. Ia bertujuan mencari bakat tempatan yang berpotensi untuk menghidupkan watak-watak dalam filem ini.

Selain watak utama yang bakal dilakonkan oleh pelakon terkenal tanah air, pasukan pengarahan juga akan mencari pelakon generasi muda yang benar-benar mencerminkan semangat era 90-an.

Menurut pengarah Lenny Ooi, proses pemilihan bukan sahaja menilai kemampuan lakonan, tetapi juga kemahiran bermain badminton, bagi memastikan babak perlawanan tampak tulen dan meyakinkan di layar.

Yang lebih penting, setiap calon harus memiliki nilai-nilai seperti keberanian, disiplin, semangat berpasukan dan rasa cinta kepada negara. Itulah kunci kepada kejayaan skuad 1992 yang akan diabadikan dalam filem ini.

Ini bukan sekadar penggambaran filem, tetapi satu usaha kebudayaan nasional, melibatkan seluruh rakyat. la adalah peluang kepada generasi muda untuk menyambung legasi perjuangan negara.

“Sentuhan Wira” dijadualkan memulakan penggambaran sepenuhnya pada hujung tahun 2025, dan produksi kini dalam fasa persediaan dengan sokongan padu pelbagai pihak.

Tentang Filem “Sentuhan Wira”

“Sentuhan Wira” ialah filem epik aksi sukan yang menghimpunkan fakta sejarah, emosi patriotik dan kekuatan visual sinematik.

Diterbitkan oleh Victory Pictures, diarahkan oleh Lenny Ooi, dan dipandu secara langsung oleh Datuk Rashid Sidek serta Datuk Cheah Soon Kit, naskhah ini bakal menjadi wadah memperingati kemenangan gemilang Malaysia dalam Piala Thomas 1992.