Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Operasi SAR Tengku Nizaruddin Ditamatkan – Polis
MUAR — Operasi mencari dan menyelamat (SAR) pempengaruh permotoran, Tengku Nizaruddin Tengku Zainudin, 38, yang dipercayai hilang setelah kenderaan dipandunya terjunam ke dalam Sungai Tui, Jalan Bukit Kepong ditamatkan pada hari ini.
Menurut Ketua Polis Daerah Muar Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz dalam satu kenyataan, keputusan penutupan Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) dan SAR dibuat berdasarkan beberapa pertimbangan.
Keputusan ini bertujuan untuk memberi ruang kepada pasukan penyelamat untuk memperluas kawasan pencarian ke lokasi-lokasi lain yang berkemungkinan berkaitan dengan kehilangan masa.
“Pencarian terperinci di lokasi kejadian telah selesai dan tiada sebarang petunjuk baharu ditemui yang menunjukkan keberadaan mangsa di kawasan tersebut,” katanya.
Selain itu, ia bagi memudahkan penyelarasan dan koordinasi antara agensi yang terlibat, khususnya bagi menghadapi kemungkinan kewujudan faktor lain yang menyumbang kepada kehilangan mangsa.
Beliau juga berkata proses pencarian akan diteruskan oleh anggota Balai Polis Lenga dengan bantuan daripada pegawai dan anggota Ibu Pejabat Daerah (IPD) Muar secara berkala.
Sehubungan itu, pihak polis menyeru orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi atau penyebaran maklumat yang tidak sahih berkaitan kejadian ini bagi mengelakkan kekeliruan serta mengganggu siasatan yang sedang dijalankan.
“Sebarang maklumat berhubung individu yang hilang ini boleh disalurkan kepada mana-mana balai polis berdekatan atau terus menghubungi pegawai penyiasat, Sarjan Mejar Ismail Ali di talian 013-7165432,” katanya.
Terdahulu, pada 15 Julai, polis menerima maklumat berhubung sebuah kenderaan yang dipercayai dipandu oleh mangsa telah ditemui dalam keadaan separa tenggelam di dalam sungai berkenaan.
Namun begitu, mangsa tidak dijumpai sekitar lokasi kejadian.
Operasi SAR telah digerakkan serta-merta pada hari yang sama dengan penglibatan pelbagai agensi penyelamat termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Pasukan Penyelama Di Air (PPDA) Unit Dron JBPM, Pasukan Polis Marin, Unit Anjing Pengesan (K9) PDRM, dan Pasukan Gerakan AM (PGA).
Operasi telah dilaksanakan selama empat hari, melibatkan kekuatan seramai 77 pegawai dan anggota merangkumi pencarian melalui darat, air dan udara, dalam radius beberapa kilometer dari lokasi kejadian.
Walau bagaimanapun, sehingga kini mangsa masih belum berjaya ditemui.
Sumber: Polis Daerah Muar