Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

JAS Keluarkan Laporan Status Kualiti Udara, Jerebu Dalam Negara
Jabatan Alam Sekitar (JAS) dalam satu kenyataan hari ini mengeluarkan laporan mengenai status kualiti udara dan jerebu dalam negara.
Menurut kenyataan itu, Indeks Pencemar Udara (IPU) yang direkodkan di laman sesawang Jabatan Alam Sekitar pada jam 3 petang ini menunjukkan status kualiti udara terkini di beberapa kawasan.
“Lima kawasan mencatatkan status kualiti udara pada tahap baik dan 62 kawasan mencatatkan status kualiti udara pada tahap sederhana dan satu stesen mencatatkan bacaan IPU pada tahap tidak sihat pada hari ini iaitu di Port Dickson, Negeri Sembilan (IPU 117),” maklum kenyataan itu.
Dalam pada itu, JAS melalui Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan (PTJK) sentiasa memantau kualiti udara dari semasa ke semasa dan tindakan yang akan diambil adalah selaras dengan PTJK yang melibatkan kesemua agensi-agensi berkaitan.
Antara tindakan yang perlu dilaksanakan oleh agensi adalah NADMA akan mengaktifkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana di peringkat daerah, negeri, pusat apabila bacaan IPU melebihi 150 bagi tempoh lebih daripada 24 jam
“Selain itu, semua aktiviti di luar bilik darjah apabila bacaan IPU melebihi 100 akan dihentikan.
“Sekiranya trend bacaan menunjukkan peningkatan ke arah 200 persediaan perlu dilaksanakan untuk menutup sekolah, tadika dan taska yang berkenaan.
“Manakala Operasi Pembenihan Awan (OPA) akan dilakukan tertakluk kepada kehadiran awan dan cuaca yang sesuai pada bacaan IPU melebihi 150 bagi tempoh lebih daripada 24 jam,” maklum JAS lagi.
Sehubungan itu. JAS bersama Kementerian dan setiap agensi yang terlibat dalam pengurusan bencana jerebu akan sentiasa bertindak dengan lebih cepat dan responsif di atas tindakan-tindakan seperti yang disenaraikan di dalam PTJK.
Tambah jabatan itu, kemerosotan kualiti udara ini disebabkan oleh terdapat pergerakan asap jerebu memasuki rantau negara ini dengan tiada kebakaran besar dalam negara yang dikesan.
Berdasarkan laporan oleh ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC) yang berpusat di Singapura pada Jumaat, imej satelit National Oceanic and Atmospheric Administration (NOAA) 20, mengesan 79 titik panas di Sumatera, lapan titik panas dikesan di Kalimantan dan empat titik panas dikesan di dalam negara iaitu di Pahang.
“Peta Jerebu Serantau yang dikeluarkan oleh ASMC pada semalam (Rajah 1) menunjukkan terdapat pergerakan asap jerebu yang bertiup ke arah barat daya. Keadaan kering dilaporkan di bahagian selatan Semenanjung Malaysia. bahagian Sumatera, Jawa, Kepulauan Sunda Kecil dan bahagian selatan Kalimantan.
“Titik panas terpencil dikesan di Sumatera, manakala beberapa titik panas dikesan di Semenanjung Malaysia, Kalimantan, Vietnam dan Thailand.
“Kepulan asap setempat diperhatikan berpunca daripada titik panas yang dikesan di bahagian utara dan tengah Sumatera,” maklum kenyataan itu lagi.
Dalam perkembangan lain, JAS telah meningkatkan tindakan penguatkuasaan dan aktiviti rondaan harian ke kawasan-kawasan yang berpotensi berlakunya aktiviti pembakaran terbuka serta memantau bacaan IPU dari masa ke semasa.
Pelan Tindakan Pembakaran Terbuka Kebangsaan dan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan telah diaktifkan bagi menyelaras tindakan-tindakan agensi Kerajaan dalam menangani isu pembakaran terbuka dan menghadapi situasi jerebu negara.
“Semua pemilik tanah dinasihatkan supaya memantau secara rapi kawasan-kawasan yang mudah dan sering terbakar seperti tapak pelupusan sampah, hutan, tanah gambut, ladang, kawasan pertanian dan industri.
“Semua pemilik juga perlu mengambil langkah-langkah untuk mencegah pencerobohan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab sehingga menyebabkan pembakaran terbuka sama ada untuk tujuan tertentu atau dengan tidak sengaja,” maklum kenyataan itu lagi
Sumber: Jabatan Alam Sekitar