ISTANBUL, 25 Ogos (Bernama-Anadolu) -- Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) pada Isnin mengeluarkan Syria daripada senarai negara penaja keganasan, sekali gus memenuhi komitmen Presiden Donald Trump untuk memberikan kelonggaran sekatan kepada kerajaan pasca-Assad.
Menurut Pejabat Kawalan Aset Asing (OFAC) Jabatan Perbendaharaan AS, Syria tidak lagi tertakluk kepada larangan di bawah Peraturan Sekatan Kerajaan dalam Senarai Keganasan.
Anadolu Ajansi melaporkan Washington turut membatalkan penetapan Barisan al-Nusrah, yang juga dikenali sebagai Hay'at Tahrir al-Sham (HTS), sebagai organisasi Pengganas Global yang Ditetapkan Khas.
OFAC turut mengeluarkan HTS daripada Senarai Warganegara yang Ditetapkan Khas dan Individu yang Disekat.
Susulan itu, General License 25, yang sebelum ini membenarkan transaksi yang dilarang kerana penglibatan kumpulan itu dalam kerajaan, dibatalkan kerana ia “tidak lagi diperlukan”, menurut OFAC.
Setiausaha Negara AS Marco Rubio berkata keputusan itu mengiktiraf “tindakan positif” dan “komitmen lanjut” yang dibuat kerajaan Syria untuk “menjauhkan Syria sepenuhnya daripada tindakan keganasan antarabangsa.”
Rubio berkata di bawah kerajaan baharu, Damsyik telah mengambil “langkah penting” untuk memerangi kumpulan pengganas Daesh, al-Qaeda, Hizbullah dan “kumpulan yang bersekutu dengan Iran”, selain secara rasmi menyertai Gabungan Global untuk Menewaskan Daesh pada November tahun lepas.
Beliau menegaskan bahawa tindakan mengeluarkan Syria daripada senarai negara penaja keganasan itu “menghapuskan halangan utama terakhir” kepada pelaburan sektor swasta, sekali gus memudahkan “pemulihan ekonomi dan penyepaduan semula Syria ke dalam ekonomi global.”
Trump secara rasmi memaklumkan Kongres pada 8 Julai mengenai hasrat untuk menarik balik penetapan Syria sebagai negara penaja keganasan selepas mengadakan pertemuan dengan Presiden Syria Ahmad al-Sharaa di Ankara.
Syria berada dalam senarai berkenaan sejak 1979, dengan status sama turut dikenakan terhadap Cuba, Korea Utara dan Iran. Penetapan sebagai negara penaja keganasan itu mewujudkan halangan besar terhadap bantuan keselamatan, transaksi kewangan dan pelaburan asing.
HTS merupakan antara kumpulan bersenjata paling berpengaruh yang menentang tentera Bashar Assad semasa perang saudara Syria. Kumpulan itu dipimpin Sharaa, yang menjadi Presiden Syria selepas Assad digulingkan.
Perubahan dasar itu menyusuli kejatuhan rejim Assad pada Disember 2024 dan usaha Sharaa selepas itu untuk menstabilkan negara berkenaan.
Sharaa melakukan lawatan bersejarah ke Rumah Putih pada November tahun lepas, menjadikannya lawatan pertama oleh seorang pemimpin Syria sejak negara itu mencapai kemerdekaan pada 1946.
Lawatan itu menyusuli pertemuan terdahulu dengan Trump di Riyadh pada Mei 2025, yang berlangsung tidak lama sebelum Washington menarik balik sekatan Caesar.


