Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

20 Tahun Koma, Ini Tragedi Di Sebalik Gelaran ‘Putera Tidur’
Putera Al-Waleed bin Khalid bin Talal bin Abdulaziz Al Saud dari Arab Saudi, yang dikenali sebagai ‘Putera Tidur’, dilaporkan telah mangkat pada Sabtu.
Kisah Al-Waleed mendapat perhatian dunia kerana Allahyarham berada di dalam keadaan koma selama hampir 20 tahun. Disebabkan itu juga, Al-Waleed mendapat gelaran ‘Putera Tidur’.
Bagaimanapun, mungkin masih ramai yang tertanya tentang apa sebenarnya yang berlaku sehingga menyebabkannya terlantar koma puluhan tahun?
Untuk pengetahuan, Putera Al-Waleed yang dilahirkan pada tahun 1990 merupakan anak sulung kepada Putera Khaled bin Talal Al Saud dan anak saudara kepada hartawan terkenal, Putera Al-Waleed bin Talal.
Al-Waleed dilaporkan terlibat dalam kemalangan jalan raya ngeri di London pada tahun 2005. Ketika kemalangan berlaku, beliau sedang mengikuti pengajian sebagai kadet tentera di United Kingdom dan dilihat sebagai seorang figura yang berpotensi besar dalam kalangan keluarga diraja Arab Saudi.
Namun, kemalangan itu mengubah segalanya apabila beliau mengalami kecederaan otak yang serius dan pendarahan dalaman, yang menyebabkannya koma pada usia 15 tahun.
Sejak 20 tahun lalu, putera Arab Saudi itu kekal dalam keadaan koma dan bergantung kepada mesin bantuan pernafasan selepas keluarganya membuat keputusan untuk tidak menghentikan sokongan hayat.
Selepas kemalangan itu, Al-Waleed telah diterbangkan ke King Abdulaziz Medical City di Riyadh. Keluarganya sentiasa berikhtiar untuk memulihkannya dengan menjemput pakar perubatan antarabangsa.

Pun begitu, keadaan Al-Waleed tetap sama dan beliau tidak pernah sedar sepenuhnya walaupun telah mendapat rawatan lanjut dan penjagaan berterusan.
Di sebalik keadaannya itu, keluarganya tetap menaruh harapan. Kadang kala mereka turut berkongsi mengenai tindak balas fizikal yang dialami oleh Al-Waleed seperti pergerakan jari atau tangan. Mereka percaya bahawa itu adalah salah satu tanda peningkatan.
Bapanya, Putera Khaled, juga sering berkongsi video yang memaparkan keadaan putera itu, bagi memastikan kisah anaknya ‘terus hidup’.
Walaupun berada dalam keadaan koma selama dua dekad, Putera Al-Waleed kekal menjadi simbol harapan dan ketahanan di Arab Saudi.
Kisahnya memberi perhatian kepada kekuatan iman, sains perubatan dan ikatan antara ahli keluarga dalam menghadapi tragedi.
Sumber: Mirror US, India Times
BACA JUGA: Putera Al-Waleed Khalid Mangkat Selepas 20 Tahun Koma – Pejabat Diraja