Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

3 Maut Dipercayai Dipijak Ketika Berebut Makanan Di Majlis Kahwin Anak Gabenor Jawa Barat

Fazidi
Gambar: Kompas TV

3 Maut Dipercayai Dipijak Ketika Berebut Makanan Di Majlis Kahwin Anak Gabenor Jawa Barat

Sekurang-kurang tiga orang tetamu dilapor terkorban ketika menghadiri pesta pernikahan anak kepada Gabenor Jawa Barat, Dedi Mulyadi dengan Wakil Bupati Garut pada 18 Julai lepas.

Mangsa yang maut dipercayai terjatuh dan dipijak ketika orang ramai berebut-rebut masuk ke ruang yang menyediakan manakan secara percuma.

Menurut CNN Indonesia, salah seorang mangsa yang terkorban merupakan kanak-kanak perempuan berusia 8 tahun.

“Tiga orang disahkan terkorban. Majlis berlangsung sekitar pukul 1 petang WIB. Orang ramai berpusu-pusu masuk ke ruang makan selepas selesai Solat Jumaat.

“Salah seorang mangsa yang terkorban merupakan kanak-kanak perempuan berusia 8 tahun,” kata wartawan CNN Indonesia, Deden Rahadian.

Menurut Deden lagi, walaupun pesta berkenaan bermula selepas Solat Jumaat, namun orang ramai didapati sudah memenuhi ruang acara sejak awal pagi lagi.

Ketika pesta berkenaan hendak bermula, orang ramai dilaporkan mula berebut-rebut untuk masuk ke ruang makan yang menyediakan makanan percuma itu untuk menjamu selera.

Deden berkata, mangsa kanak-kanak yang meninggal berkemungkinan terjatuh dan dipijak oleh orang ramai yang menyerbu masuk ke ruang makan tersebut.

Manakala dua lagi mangsa yang terkorban merupakan warga emas dan seorang anggota polis.

Selain itu, beberapa orang mangsa juga mengalami kecederaan dalam insiden tersebut termasuk sesak nafas hingga terpaksa dikejarkan ke Rumah Sakit Garut untuk mendapatkan rawatan.

Dalam perkembangan terkini, Dedi memohon maaf di atas insiden kematian yang berlaku dalam majlis perkahwinan anaknya, Maula Akhbar dengan Putri Karlina.

“Saya turut berdukacita. Semoga allahyarham dan allahyarhamah diterima iman Islamnya, diampuni segala dosanya dan ditempatkan di tempat yang mulia di sisi Allah SWT,” katanya.

Menurut Dedi, pihaknya akan bertanggungjawab di atas insiden tersebut dan sudah mengarahkan kakitangannya untuk menyantuni keluarga mangsa.

Bantuan awal sebanyak Rp 150 juta diserahkan kepada setiap keluarga kepada mangsa yang terkorban.

Sumber: CNN