Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Hulk Hogan Meninggal Dunia

Sofea
hulk hogan
Kredit: AFP

Figura ikonik gusti profesional pada 1980-an, Hulk Hogan meninggal dunia di usia 71 tahun, lapor AFP.

Menurut NBC News, pengurus Hogan memaklumkan bahawa mendiang meninggal dunia di rumahnya di Florida.

TMZ turut melaporkan berita kematiannya, memetik sumber tidak dinamakan dan satu panggilan kecemasan berhubung serangan jantung di rumah terbabit.

Sementara itu, WWE menzahirkan rasa duka di atas pemergian Hogan.

“WWE berdukacita menerima berita pemergian Hulk Hogan. Merupakan salah seorang tokoh budaya pop paling dikenali, Hogan telah membantu WWE mencapai pengiktirafan global pada era 80-an.

“WWE merakamkan ucapan takziah kepada keluarga, rakan-rakan dan para peminat Hogan,” katanya.

Hogan terkenal dengan susuk tubuh yang tinggi, bandana dan bentuk misai yang tersendiri.

BACA JUGA: Ozzy Osbourne Meninggal Dunia

Personaliti Hogan yang penuh karisma dengan wataknya dalam gelanggang ialah seorang wira berimej Amerika sejati dan kebolehan gustinya telah mentransformasikan sukan itu menjadi hiburan keluarga arus perdana. Ia juga menarik jutaan penonton serta menjadikan liga gusti sebagai empayar menjana keuntungan.

Hogan atau nama sebenarnya Terry Bollea mula bertanding pada tahun 1979 dalam World Wrestling Federation (WWF, kini dikenali sebagai WWE), tetapi mula menjadi tumpuan dan kegemaran peminat pada pertengahan 1980-an bersama-sama tokoh lain seperti Andre the Giant dan “Rowdy” Roddy Piper.

Fenomena “Hulkamania” turut meledak ke layar kaca dan perak, dengan penampilannya dalam filem seperti Rocky III, No Holds Barred, dan siri televisyen Baywatch.

Beliau juga telah dimasukkan ke dalam WWE Hall of Fame pada tahun 2005.

Sumber: AFP