Utama

Sukan

Politik

Berita

Berita

Politik

Politik

Sukan

Politik

Berita

Berita

Politik

Politik

‘Brisk Walk’: Teknik Betul, Badan Pun Cepat Susut
Ramai yang masih beranggapan berjalan kaki hanyalah senaman ringan yang tidak begitu berkesan untuk membakar lemak sedangkan sebenarnya aktiviti ini boleh menjadi salah satu cara paling praktikal untuk mencapai berat badan ideal.
Malah kalau dilakukan dengan teknik yang betul, berjalan pantas atau lebih dikenali sebagai brisk walk, ianya boleh membakar lebih banyak kalori daripada yang kita sangka.
Kelebihannya pula ialah aktiviti ini tidak memerlukan kos mahal, tidak memerlukan mesin yag canggih atau langganan gym yang membebankan.
Cukup sekadar kesungguhan diri, sepasang kasut sukan yang sesuai dan masa yang diperuntukkan setiap hari. Bunyinya memang ringkas tetapi hasilnya sangat memuaskan jika dilakukan secara konsisten.
Apa sebenarnya Brisk Walk ni?
Brisk walk bukan sekadar berjalan-jalan santai di sekitar taman sambil bermain telefon atau bersembang kosong. Ia adalah aktiviti berjalan dengan kadar kelajuan yang lebih laju daripada berjalan biasa tetapi masih belum mencapai tahap berlari.
Bila brisk walk dilakukan dengan teknik yang betul, langkah kaki akan jadi lebih panjang, pergerakan tangan pula akan lebih aktif berayun ke depan dan ke belakang manakala degupan jantung akan naik pada tahap yang sihat.
Pada masa inilah kalori terbakar lebih cepat dan lemak mula dipecahkan untuk dijadikan tenaga. Ramai pakar kesihatan juga menyarankan brisk walk sebagai senaman permulaan terbaik untuk mereka yang baru mahu mula bersenam terutama jika belum bersedia untuk aktiviti berat seperti berjoging atau berlari.
Ramai orang terlepas pandang kepentingan memilih kasut yang sesuai untuk berjalan. Kasut yang betul bukan sahaja memberikan keselesaan malah mampu mengurangkan risiko kecederaan seperti melecet, sakit tumit atau sakit lutut.
Pilihlah kasut sukan yang ringan, mempunyai tapak yang fleksibel dan lapisan dalam yang menyokong lengkungan tapak kaki dengan baik.
Elakkan guna kasut yang sudah haus tapaknya kerana ia boleh menjejaskan postur semasa berjalan. Kasut yang sesuai juga membantu pergerakan lebih lancar dan memberikan cengkaman yang baik pada permukaan jalan sekali gus mengurangkan risiko tergelincir atau terseliuh.
2. Panaskan badan sebelum mula
Ramai orang terus berjalan laju tanpa sebarang pemanasan. Sebenarnya, pemanasan sebelum brisk walk sangat penting untuk menyediakan otot dan sendi supaya tidak terkejut dengan pergerakan yang lebih aktif.
Luangkan sekurang-kurangnya 5 hingga 10 minit untuk regangan ringan seperti pusing pergelangan kaki, regangan betis, paha dan bahu.
Selain membantu mengurangkan risiko kecederaan, pemanasan juga membuatkan peredaran darah lebih lancar dan memudahkan badan masuk gear apabila mula berjalan laju nanti.
Dengan pemanasan yang cukup, anda juga akan lebih bertenaga untuk mengekalkan tempo brisk walk tanpa cepat penat.
Di samping itu, cara berdiri semasa brisk walk memainkan peranan besar dalam memastikan badan tidak mudah sakit selepas berjalan jauh.
Pastikan badan sentiasa tegak, bahu dalam keadaan relaks dan tidak terlalu tegang. Pandangan mata pula sebaiknya fokus lurus ke hadapan bukan tunduk melihat telefon.
Tarik nafas secara teratur dan kemaskan sedikit otot perut agar tulang belakang mendapat sokongan yang baik sepanjang pergerakan. Apabila postur betul, beban pada sendi lutut dan pinggang juga dapat dikurangkan sekali gus elak kecederaan jangka panjang.
4. Langkah lebih pantas dan tangan ayun aktif
Perbezaan ketara antara brisk walk dan berjalan biasa ialah pada kelajuan langkah dan cara tangan diayun. Cuba langkah dengan lebih panjang dan laju berbanding berjalan santai.
Tangan pula jangan biarkan kaku di sisi badan. Ayunkan ke depan dan ke belakang selari dengan langkah kaki.
Ayunan tangan dapat membantu menstabilkan pergerakan badan, meningkatkan momentum dan membuatkan otot bahu dan lengan turut sama aktif bekerja.
Hasilnya, lebih banyak kalori terbakar dalam satu sesi. Ayunan tangan juga dapat membantu untuk melatih keseimbangan badan agar langkah kekal stabil walaupun berjalan dalam jarak yang lebih jauh.
Untuk memastikan hasil yang optimum, amalkan brisk walk sekurang-kurangnya 30 minit setiap sesi. Kalau masih baru dalam aktiviti ini, mulakan dengan 10 ke 15 minit dahulu, kemudian tambah masa secara berperingkat sehingga mampu mencapai 45 minit atau satu jam.
Menurut kajian, berjalan pantas selama 30 minit sehari sudah cukup untuk membantu mengekalkan berat badan sihat dan menurunkan risiko penyakit jantung, diabetes dan tekanan darah tinggi.
Paling penting, konsisten. Lagi kerap dilakukan, lagi cepat badan menyesuaikan diri dan stamina anda akan bertambah baik dari semasa ke semasa.
Kelebihan brisk walk yang ramai tak sangka
Selain membantu mencairkan lemak degil, brisk walk juga baik untuk kesihatan keseluruhan tubuh badan. Degupan jantung yang meningkat sewaktu brisk walk merangsang peredaran darah agar lebih lancar dan seterusnya menjadikan jantung lebih kuat dan paru-paru dapat bekerja dengan lebih baik.
Kajian mendapati, rutin berjalan pantas secara konsisten dapat mengurangkan risiko pelbagai penyakit kronik termasuk strok, obesiti dan masalah kolesterol tinggi.
Satu lagi kelebihan tersembunyi brisk walk ialah keupayaannya mengurangkan tekanan emosi. Bila berjalan sambil menikmati suasana persekitaran, otak akan merembeskan hormon gembira iaitu endorfin. Ia akan membuatkan kita berasa lebih tenang dan kurang tertekan.
BACA : RON95 vs RON97: Yang Mana Lebih Sesuai Untuk Kereta Anda?
Ramai yang semangat hanya sekejap terutama bila cuaca hujan atau badan mula rasa lenguh. Untuk elak semangat suam-suam kuku, cuba ajak ahli keluarga atau rakan berjalan bersama.
Aktiviti brisk walk akan jadi lebih menyeronokkan bila ada teman berbual dan memberi sokongan. Kalau berjalan seorang diri, pasang muzik yang menaikkan semangat atau guna aplikasi penjejak langkah supaya kita dapat lihat kemajuan dari hari ke hari.
Kesimpulannya, brisk walk sememangnya nampak mudah tetapi impaknya cukup besar jika dilakukan dengan teknik yang betul dan penuh disiplin.
Jangan tunggu esok atau minggu depan. Mula melangkah dari hari ini juga walaupun hanya beberapa minit.
Ingat, setiap langkah yang diambil membawa kita semakin hampir ke arah berat badan ideal, kesihatan yang lebih baik dan kehidupan yang lebih bertenaga.
Sumber : medicalnewstoday,healthline
BACA : Nak Buat Bateri Kereta Tahan Lama: Ini 8 Cara Paling Senang