Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah
Tiada Kategori

Tercatat Dalam Peta Lama, Persatuan Kartografi Melaka Jejaki Pulau Terus

Sofea
peta lama pulau terus
Kredit: Encik Kartografi

Tercatat Dalam Peta Lama, Persatuan Kartografi Melaka Jejaki Pulau Terus

Setiap lokasi di negara kita mempunyai pelbagai sejarah dan keunikan tersendiri. Pun begitu, ada sesetengah sejarah itu telah dilupakan atau ‘tenggelam’ begitu sahaja dek kerana peredaran zaman.

Baru-baru ini, Persatuan Kartografi Melaka telah menjejaki lokasi yang tercatat dalam peta lama berusia lebih 100 tahun. Kawasan yang dikenali sebagai Pulau Terus itu menjadi sempadan di antara negeri Melaka dan Johor.

Untuk penjelasan lanjut, ikuti perkongsian Encik Kartografi atau Shahrul Azzim Abd Aziz di bawah ini.

Ketua Penyelidik Persatuan Kartografi Melaka, Encik Kartografi (Shahrul Azzim Abd Aziz) berpeluang menjejaki sebuah lagi kawasan yang menempatkan sebuah pulau tasik ladam yang pernah direkodkan di dalam sebuah peta lama yang berusia lebih 100 tahun. Lokasi yang dimaksudkan ialah Pulau Terus yang terletak di Sungai Kesang, sungai yang menjadi sempadan di antara negeri Melaka dengan Johor Darul Ta’zim.

Pulau tersebut telah direkodkan di dalam beberapa naskah kartografi lama dan salah satunya adalah di dalam peta yang bertajuk Map of the Malacca Territory yang diterbitkan pada tahun 1916 (Ditulis sebagai P. Trus di dalam peta lama tersebut). Pulau Terus berdasarkan pemerhatian di dalam peta lama tersebut adalah sebuah kawasan yang dilingkari sistem sungai yang telah terpisah dari aliran utamanya dan menjadi sebuah pulau tasik ladam seperti Pulau Penarik yang terletak di aliran Sungai Muar.

Kredit: Encik Kartografi
Kredit: Encik Kartografi

Perbandingan dilakukan di antara peta yang berusia 109 tahun tersebut dengan imej satelit Google Earth dalam mengesan lokasi Pulau Terus. Berdasarkan pemerhatian di dalam imej satelit Google Earth dan penjelajahan ke lokasi, kelihatan pulau tersebut memang wujud dan aliran sungai yang mengelilingi pulau tersebut telah terputus dari aliran utama Sungai Kesang. Namun masih terdapat kesan aliran air tetapi dalam keadaan yang sangat minima dan dipenuhi dengan semak-samun.

BACA JUGA: Persatuan Kartografi Melaka Jejak Jambatan Lama Di Putrajaya

Di dalam imej satelit Google Earth dan juga Open Street View, kelihatan kawasan yang dijejaki ini tidak dinamakan sebagai Pulau Terus. Pulau Terus dinamakan kepada sebuah lagi kawasan yang juga telah terputus dari aliran utama Sungai Kesang. Kawasan tersebut berdasarkan peta lama yang diterbitkan pada tahun 1916 dinamakan sebagai Tanjung Gelam (Tg. Glam seperti ytang tertulis di dalam peta tersebut). Dahulunya ia adalah sebuah kawasan bertanjung tetapi kini telah telah menjadi sebuah pulau tasik ladam.

Kredit: Encik Kartografi
peta lama pulau terus
Kredit: Encik Kartografi
peta lama pulau terus
Kredit: Encik Kartografi

Mungkin tidak ramai yang mengetahui kewujudan Pulau Terus yang asal memandangkan lokasinya yang agak tersorok dari jalan utama yang menghubungkan Sungai Rambai, Melaka dengan Sungai Mati, Johor Darul Ta’zim. Namun, pulau tasik ladam ini tetap menjadi salah sebuah ciri geografi alam semulajadi yang telah direkod dalam naskah kartografi lama yang berusia lebih seabad lamanya.

Kajian & Penulisan oleh: Shahrul Azzim Abd Aziz (Encik Kartografi), Persatuan Kartografi Melaka

Sumber peta: BNF Gallica & Google Earth.

Sumber: Encik Kartografi