Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Majlis Kahwin Bertukar Kecoh, ‘Pengantin Perempuan’ Berniqab Rupanya Lelaki
Majlis perkahwinan di Sulawesi Selatan pada Selasa lalu bertukar kecoh apabila identiti sebenar bakal pengantin perempuan terbongkar.
Memetik Detik.com, ‘pengantin perempuan’ berusia 25 tahun itu rupa-rupanya seorang lelaki dan perkara itu terbongkar sebelum majlis akad nikah berlangsung.
Ketua Polis Daerah Lembang, Inspektor Pertama Ridwan Mustari berkata mangsa dan pelaku berkenalan menerusi media sosial pada Jun 2025. Ketika itu, pelaku menyamar sebagai wanita berniqab.
“Setelah itu, mangsa dan pelaku sering berhubung menggunakan aplikasi WhatsApp sehingga mereka menjalinkan hubungan yang lebih serius,” katanya.
Selepas berkenalan, pelaku kemudian mengajak mangsa ke kampung halaman untuk bertemu keluarganya. Pun begitu, pelaku sebaliknya membawa mangsa ke tanah perkuburan, dengan alasan untuk menunjukkan kubur ibu bapanya.
Mangsa yang tidak mengesyaki apa-apa mengajak pelaku ke daerah Pinrang untuk berkahwin. Namun, segalanya terbongkar selepas pendaftar dan pegawai agama tempatan meminta pengenalan diri pelaku ketika hari pernikahan.
Keluarga mangsa turut merasa curiga kerana pelaku tidak membawa pengenalan diri dan mereka meminta lelaki itu menanggalkan niqab bagi mendedahkan wajah sebenar.
Bagaimanapun, pelaku tetap berkeras untuk tidak membukanya.
“Selepas itu, keluarga mangsa yang makin curiga menanggalkan niqab itu secara paksa, sehingga akhirnya mendedahkan bahawa dia sebenarnya merupakan seorang lelaki yang menyamar sebagai wanita,” kata polis itu lagi.
Sejurus menerima maklumat, polis bergegas ke lokasi kejadian untuk menahan pelaku. Ketika mereka sampai, lelaki itu ditemui dalam keadaan tangan yang terikat dan dikepung oleh penduduk.
Rakaman video yang tular di media sosial juga menunjukkan pelaku mengalami kecederaan dipercayai akibat dipukul penduduk.
Sumber: Detik.com