Utama

Tip

Trivia

Berita

Berita

Tip

Sukan

Tip

Trivia

Berita

Berita

Tip

Sukan

Lebih Mudarat Dari Jimat, Bahaya Guna Sabun Baju Pada Pinggan
Pernahkah anda berada dalam situasi di mana sedang mencuci pinggan mangkuk, tiba-tiba sabun pencuci pinggan habis dan anda tiada sabun yang lain?
Tiba-tiba terlintas satu idea untuk menggunakan sabun pencuci pakaian sebagai alternatif, dengan anggapan ia boleh menggantikan sabun pencuci pinggan.
Pasti anda berasa lega kerana tidak perlu pergi ke pasar raya atau kedai runcit, sekali gus menjimatkan masa. Malah, ia memberikan penyelesaian segera ketika dalam kesuntukan waktu.
Walaupun nampak praktikal, penggunaan sabun pencuci pakaian untuk membersihkan pinggan mangkuk menimbulkan persoalan mengenai risiko terhadap kesihatan anda.
Jangan amalkan tabiat ini lagi
Menurut portal Green Matters, ia bukan idea yang baik untuk mencuci pinggan mangkuk menggunakan sabun pencuci pakaian. Ini kerana sabun pencuci pakaian mempunyai pelbagai bahan kimia yang tertentu.
Bahan-bahan seperti pewangi, penghilang kotoran, pemutih, pelembut dan lain-lain digunakan untuk memastikan pakaian bersih serta menyingkirkan kotoran yang melekat.
Difahamkan, kesemua bahan tersebut tidak sesuai digunakan pada pinggan mangkuk yang anda gunakan untuk makan.
Hal ini kerana apabila mencuci pinggan mangkuk dengan tangan menggunakan sabun pencuci pakaian, anda lebih terdedah kepada bahan kimia tersebut. Lebih membahayakan, bahan-bahan ini boleh bertukar menjadi gas apabila terdedah kepada haba.
Kedua-dua pencuci ini direka untuk tujuan yang berbeza
Menurut portal Blue Water pula, sabun pencuci pakaian dan sabun pencuci pinggan direka untuk tujuan yang berbeza dan komposisi kimianya mencerminkan perbezaan ini.
Sabun pencuci pinggan diformulasikan khas supaya lembut pada kulit dan berkesan menanggalkan minyak serta sisa makanan pada pinggan mangkuk.
Manakala sabun pencuci pakaian diformulasikan dengan bahan kimia yang lebih kuat untuk menghilangkan kesan kotoran dan bau pada pakaian.
Menurut portal Blue Water lagi, sabun pencuci pakaian tidak perlu dibilas sepenuhnya kerana ia tidak digunakan pada barang yang bersentuhan langsung dengan makanan atau mulut.
Bahan-bahan pada sabun pencuci pakaian biasanya memiliki enzim untuk memecahkan kotoran biologi, pemutih optik untuk menyerlahkan penampilan pakaian dan pewangi yang tahan lama.
Oleh itu, penggunaan sabun pencuci pakaian pada pinggan mangkuk boleh meninggalkan kesan yang tidak selamat untuk dimakan. Malah, ia mungkin tidak dapat dibilas sebersih sabun pencuci pinggan, sekali gus boleh menimbulkan risiko kesihatan.
Sumber: Green Matters, Blue Water