Projek Kereta Api Laju Indonesia Rugi Hampir RM261.4 Juta Separuh 2025
PT Kereta Api Indonesia (Persero) atau KAI dilapor mencatat kerugian hampir Rp1 trilion (kira-kira RM261.4 juta) daripada Projek Kereta Api Laju Jakarta–Bandung (Whoosh) sepanjang separuh pertama 2025.
Menurut portal CNN Indonesia, angka tersebut diperoleh daripada laporan kewangan konsolidasi setakat Jun 2025, manakala beban kerugian direkodkan pada bahagian untung rugi entiti bersekutu dan usaha sama.
Kerugian yang ditanggung oleh KAI berpunca daripada pegangan saham majoritinya dalam PT Pilar Sinergi BUMN Indonesia (PSBI), iaitu konsortium pengendali Whoosh.
Laporan kewangan menunjukkan nilai rugi bersih daripada PSBI yang disumbangkan kepada KAI mencecah Rp951.48 bilion (kira-kira RM248.5 juta) setakat Jun 2025.
Sementara itu, pegangan saham KAI dalam PSBI dicatatkan sebanyak 58.53 peratus.
Kerugian tersebut bersamaan kira-kira Rp1.9 trilion (kira-kira RM496.7 juta) jika dianggarkan untuk setahun penuh.
Malah, nilai ini lebih rendah berbanding kerugian sepanjang tahun 2024 yang mencecah Rp2.69 trilion tetapi masih menambah beban kewangan KAI.
Kerugian daripada Whoosh mula membebani laporan kewangan KAI
Menurut portal CNN Indonesia, perkara itu dinyatakan oleh pihak pengurusan dalam laporan kewangannya yang didedahkan di Bursa Efek Indonesia (BEI) pada Sabtu lalu.
PT Pilar Sinergi BUMN Indonesia (PSBI) bukan sahaja dimiliki oleh KAI, tetapi turut melibatkan beberapa BUMN lain. Antaranya ialah PT Wijaya Karya (Persero) Tbk (WIKA) dan PT Jasa Marga (Persero) Tbk (JSMR).
Difahamkan, konsortium ini ditubuhkan bagi membiayai dan menguruskan projek Whoosh yang sejak awal berdepan pelbagai cabaran. Ia bermula daripada pengambilan tanah sehinggalah perubahan reka bentuk pembinaan.
CNN Indonesia melaporkan jumlah pelaburan bagi Projek Kereta Api Laju telah mencecah AS$7.27 bilion (kira-kira RM30.63 bilion), termasuk tambahan kos (cost overrun) sebanyak AS$1.2 bilion (kira-kira RM50.68 bilion)
Tambahan lagi, kenaikan kos itu kini menjadi salah satu faktor utama dalam penstrukturan semula oleh Badan Pengelola Investasi Danantara (Danantara Indonesia).
Kerugian daripada Whoosh mula membebani laporan kewangan KAI sejak pengangkutan itu mula beroperasi secara komersial pada Oktober 2023.
Sehingga kini, sumbangan pendapatannya masih belum mencukupi untuk menampung kos pelaburan yang tinggi serta beban operasi.
Sumber: CNN Indonesia