Utama

Berita

Berita

Politik

Politik

Berita

Berita

Berita

Berita

Politik

Politik

Berita

Berita

Hutang Kereta Api Laju 'Whoosh' Akan Dibayar Guna Dana Negara
Menteri Setiausaha Negara, Prasetyo Hadi memaklumkan bahawa urusan hutang projek Kereta Cepat Jakarta-Bandung (Whoosh) akan dibayar menggunakan peruntukan Anggaran Pendapatan dan Belanja Negara (APBN), lapor Detik Finance.
Bagaimanapun, beliau turut menjelaskan perbincangan teknikal berhubung mekanisme pelaksanaan masih belum dimuktamadkan.
Difahamkan, perbincangan kini berada pada peringkat rundingan lanjut antara kerajaan dan syarikat konsortium, Danantara.
“Ya, hutang Whoosh akan dibayar menggunakan APBN,” kata Prasetyo seperti yang dilaporkan dalam Detik Finance.
Projek Whoosh yang bernilai 121 trilion rupiah itu sebahagian besarnya dibiayai oleh China Development Bank (CDB), yang menanggung sekitar 75 peratus daripada keseluruhan kos pembinaan.
Isu pembiayaan kembali hangat selepas Presiden Prabowo Subianto menegaskan kerajaan bersedia menanggung komitmen projek tersebut, termasuk pembayaran hutang tahunan sekitar 1.2 trilion rupiah.
Presiden turut menekankan bahawa projek itu memberikan manfaat awam yang signifikan, antaranya mengurangkan kesesakan lalu lintas, mengawal pencemaran udara serta memacu pemindahan teknologi.
Menurut beliau, kerajaan masih berkemampuan untuk melunaskan jumlah hutang berkenaan dan dana yang diperlukan juga tersedia.
Tambahnya, kerajaan giat mengambil tindakan undang-undang terhadap penyelewengan peruntukan serta amalan rasuah di bawah kepimpinannya,.
Beliau turut menekankan bahawa kehadiran Whoosh membolehkan Indonesia menguasai teknologi kereta api moden dan canggih hasil kerjasama dengan China.
“Yang penting ialah kita menguasai teknologi. Kita berada pada tahap amalan terbaik. Dan ingat, ini adalah simbol kerjasama kita dengan China,” katanya lagi.