Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah
Tiada Kategori

‘Pergi’ Selepas 7 Hari Bertarung Nyawa, Hasrat Darna Tajudin Derma Organ Tertunai

Hannah
Darna Tajudin
Gambar: Yen Tajudin/FB

‘Pergi’ Selepas 7 Hari Bertarung Nyawa, Hasrat Darna Tajudin Derma Organ Tertunai

Suasana duka menyelubungi sebuah keluarga di Tawau apabila Darna Tajudin, 41, yang juga ibu kepada lima orang anak, menghembuskan nafas terakhir selepas tujuh hari bertarung nyawa.

Menurut laporan media tempatan, arwah dipercayai meninggal dunia selepas dilanggar seorang pemandu yang disyaki mabuk ketika beliau keluar berjoging pada 10 Ogos lalu.

Darna, yang dikenali sebagai seorang wanita ceria, aktif dan pemurah, dirempuh dari arah belakang sebelum rebah di jalan.

Beliau kemudiannya segera dibawa ke hospital dan ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Walaupun doktor berusaha sebaik mungkin, keadaan Darna semakin kritikal. Pada 17 Ogos, beliau disahkan meninggal dunia akibat kegagalan otak berfungsi (brain death).

Tinggalkan amanah terakhir

Pemergian Darna meninggalkan kesan mendalam buat lima orang anaknya yang masih muda, berusia antara 9 hingga 18 tahun. Tangisan mereka mengiringi detik terakhir arwah di hospital.

Namun, dalam kesedihan itu, keluarga memilih untuk menunaikan amanah terakhir yang pernah disebut oleh arwah.

Sebelum ini, Darna pernah menyatakan hasratnya agar organ beliau didermakan sekiranya ditakdirkan pergi terlebih dahulu.

“Kalau aku tiada nanti, biarlah organ aku membantu orang lain…” itulah kata-kata arwah yang akhirnya dihormati keluarganya.

Penghormatan terakhir

Di bilik pembedahan Hospital Tawau, suasana hening menyelubungi saat kakitangan perubatan memberi penghormatan terakhir sebelum operasi pendermaan kornea dijalankan.

“Seluruh kakitangan berdiri tegak, tangan di dada, dalam sunyi yang menekan jiwa. Mereka memberi penghormatan terakhir sebelum operasi pendermaan kornea dilaksanakan.

“Tubuh arwah terbujur kaku di atas katil, tetapi jasanya sedang hidup. Kornea matanya kini bakal menjadi cahaya untuk insan lain melihat semula dunia.

“Arwah yang dahulunya penderma darah tegar, kini menjadi penyelamat dalam bentuk yang lebih abadi,” tulis Public Health Malaysia.

“Kita juga boleh menulis bab itu untuk diri kita.” – Public Health Malaysia

Dalam pada itu, Public Health Malaysia memaklumkan bahawa ikrar pendermaan organ kini boleh dibuat melalui aplikasi MySejahtera.

“Namun jangan berhenti di situ. Maklumkan kepada keluarga, kerana di saat terakhir nanti, merekalah yang akan menunaikan ikrar itu bagi pihak kita,” maklum Public Health Malaysia.

Hari ini, dunia mungkin berduka dengan kehilangan sosok ibu ini, tetapi esok ada insan yang akan tersenyum semula kerana dapat melihat dunia melalui cahaya mata arwah.

Sesungguhnya, cinta dan kebaikan tidak pernah mati. Ia terus hidup dalam setiap nyawa yang diselamatkan.

BACA: Pendaki Indonesia Kagum 5 Perkara Ini Dengan Pengurusan Gunung Malaysia

Sumber: Public Health Malaysia