Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah
Tiada Kategori

Larian ‘Bawa Periuk’ Suntik Semangat Solidariti Terhadap Kelaparan Palestin

Larian ‘Bawa Periuk’ Suntik Semangat Solidariti Terhadap Kelaparan Palestin

Putrajaya, 27 Ogos – Berikutan tahap kelaparan di Palestin yang semakin membimbangkan, Pertubuhan Kesihatan Jantung Malaysia (MyHeart) dengan kerjasama MyFundAction akan menganjurkan sebuah acara larian kemanusiaan yang unik dan penuh simbolik. Dikenali sebagai “Run For Humanity”, acara yang dijadualkan berlangsung pada 12 September ini akan menggabungkan elemen kecergasan, kesedaran kemanusiaan, dan simbol solidariti yang kuat terhadap penderitaan rakyat Palestin.

Menariknya, para peserta larian bukan sahaja akan berlari untuk kecergasan, tetapi diminta untuk membawa periuk dan sudu sebagai tanda protes aman dan simbol kelaparan yang sedang melanda Gaza. Bunyi dentingan periuk dan sudu sepanjang larian diharapkan dapat menjadi peringatan yang lantang kepada masyarakat bahawa krisis kemanusiaan ini memerlukan perhatian segera dari seluruh dunia.

Peserta larian yang dijadualkan berlangsung pada 12 September di Taman Wetland di sini akan menghabiskan larian dengan jarak larian 5km. Semua kutipan daripada yuran penyertaan dan kolaborasi tambahan akan disalurkan sepenuhnya untuk menyediakan bantuan makanan kecemasan kepada keluarga-keluarga Palestin yang terjejas.

MyFundAction yang berpengalaman luas dalam operasi bantuan antarabangsa akan memastikan setiap wang kolaborasi disalurkan secara telus dan sampai kepada penerima yang memerlukan.

Presiden MyHeart, Isma Fildza Hazry Ismail, berkata, “Kami mahu acara ini menjadi platform bukan sahaja untuk meningkatkan kesedaran, tetapi juga untuk menggerakkan tindakan. Dengan simbol periuk dan sudu ini, kami mahu menunjukkan bahawa walaupun jarak memisahkan kita, hati kita tetap bersama mereka yang sedang berjuang untuk hidup di Palestin.”

Selain aktiviti larian, acara ini juga akan menampilkan pameran kesedaran dan kesihatan, sesi perkongsian serta jualan. Penglibatan pelbagai lapisan masyarakat – dari keluarga, belia, atlet, sehingga seluruh rakyat Malaysia – diharapkan dapat mencipta gelombang solidariti yang lebih besar untuk Palestin.

MyFundAction amat mengalu-alukan sokongan daripada mana-mana pihak, sama ada syarikat korporat, badan bukan kerajaan (NGO), atau individu perseorangan, yang ingin menyertai usaha ini bagi membantu masyarakat setempat. Pendaftaran penyertaan kini masih dibuka melalui https://giving.myfundaction.org/order/form/ans-y01-run-for-humanity dan tempat adalah terhad. Bersama kita, setiap langkah larian dan setiap dentingan periuk adalah suara yang lantang untuk Palestin.