Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa solidariti terhadap rakyat Palestin tidak seharusnya terhenti pada kata-kata, sebaliknya perlu disusuli tindakan nyata bagi memastikan hak dan maruah rakyatnya terus diperjuangkan.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan di Facebook malam ini selepas menyantuni keluarga besar Sumud Nusantara bersempena Global Sumud Flotilla Congress 2026 yang menghimpunkan solidariti masyarakat antarabangsa bagi memperjuangkan kebebasan Palestin, termasuk di Gaza.
Menurut Anwar, penderitaan rakyat Palestin bukan sekadar soal agama atau bangsa, sebaliknya melibatkan aspek kemanusiaan serta hak setiap insan untuk hidup bebas, bermaruah dan menentukan nasib sendiri.
Katanya, penjajahan, penindasan serta kekejaman terhadap orang awam tidak boleh dibiarkan berterusan.
Dalam pada itu, beliau berkata pelancaran Sumud Protocol menjadi langkah untuk menyelaraskan usaha pembebasan Palestin menerusi lima jalur gerakan.
Lima jalur tersebut merangkumi perfileman, tindakan ahli parlimen, gerakan masyarakat sivil dan belia, flotila ke Gaza serta Kongres Global.
Ujarnya, Resolusi Asas Gerakan Global Sumud yang dimeterai pada majlis berkenaan perlu diterjemahkan kepada tindakan bersama yang tersusun dan berterusan.
Anwar turut menzahirkan harapan agar kesungguhan serta kerjasama masyarakat antarabangsa dapat terus memperjuangkan keadilan, hak rakyat Palestin untuk menentukan nasib sendiri dan masa depan yang lebih aman serta bermaruah bagi rakyat Gaza.

