Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

PM Anwar Bakal Sampaikan Amanat Hari Kebangsaan Sabtu Ini

Iqbal Yasir
anwar amanat hari kebangsaan
Gambar: Bernama

PM Anwar Bakal Sampaikan Amanat Hari Kebangsaan Sabtu Ini

PUTRAJAYA, 27 Ogos (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka menyampaikan amanat sempena Hari Kebangsaan 2025 pada 30 Ogos ini di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS).

Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang berkata majlis itu diadakan sebagai satu daripada usaha untuk menyampaikan hasrat dan harapan pimpinan tertinggi kerajaan mengenai kepentingan menghayati semangat perpaduan serta menyemai patriotisme dalam kalangan rakyat Malaysia.

Beliau berkata tema sambutan tahun ini, “Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni”, membawa maksud bahawa setiap rakyat tanpa mengira kaum, agama, budaya, dan latar belakang adalah aset negara yang mesti dihargai, disantuni, serta dirangkul dalam semangat kebersamaan.

“Amanat yang akan disampaikan oleh Perdana Menteri diharap dapat memberikan inspirasi baharu kepada rakyat Malaysia untuk terus bersatu padu, menghargai pengorbanan generasi terdahulu, serta menghayati erti kemerdekaan dalam konteks cabaran semasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Aaron berkata kira-kira 5,000 tetamu, termasuk penjawat awam, agamawan, jentera perpaduan, pelajar sekolah, anggota badan beruniform, pelajar institusi pendidikan tinggi (IPT), golongan belia, usahawan dan warga kerja swasta dijangka hadir ke majlis itu bagi menyemarakkan penghayatan kemerdekaan dalam kalangan rakyat Malaysia terutama generasi baharu.

Sumber: BERNAMA

BACA: PM Anwar Salur Peruntukan Tambahan RM200,000 Untuk RXZ Members 7.0