Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Kenali Sumatras, Fenomena Unik Berlaku Di Pantai Barat Semenanjung Malaysia
Umumnya, Malaysia terkenal dengan dua musim monsun yang berlaku setiap tahun iaitu Monsun Timur Laut dan Monsun Barat Daya.
Monsun Timur Laut biasanya berlaku dari November hingga Mac yang membawa hujan lebat terutamanya di pantai timur Semenanjung seperti Kelantan, Terengganu dan Pahang, serta sebahagian Sabah dan Sarawak.
Sebaliknya, Monsun Barat Daya berlaku dari Mei hingga September pula menyebabkan hujan yang lebih ringan dan taburan tidak menentu, memberi kesan kepada kawasan barat Semenanjung.
Seperti yang diketahui, negara berada dalam fasa Monsun Barat Daya ketika ini.
Tahukah anda, salah satu fenomena yang terjadi ketika Monsun Barat Daya ialah Fenomena Sumatras. Mungkin ada yang sudah pernah mendengar mengenai fenomena ini dan ada yang masih belum mengetahuinya.
Sehubungan itu, SK hari ini akan berkongsikan salah satu fenomena unik ini yang berlaku ketika Monsun Barat Daya di bawah.
Apa Itu Fenomena Sumatras?
Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), Sumatras merupakan fenomena unik yang berlaku di pantai barat Semenanjung Malaysia.
Sumatras atau nama lainnya Garis Badai semasa Monsun Barat Daya, membawa hujan lebat, ribut petir dan angin kencang di pantai barat Semenanjung Malaysia, terutamanya pada awal pagi.
Bagaimana Fenomena Sumatras Terbentuk?
Pembentukan Sumatras berpunca dari angin barat daya yang bertiup merentasi banjaran di Sumatera.
Disebabkan itu, ia menghasilkan gelombang gunung di kawasan sebelah teduh angin dan menyebabkan ketidakstabilan atmosfera di Selat Melaka.
Secara tidak langsung air laut di Selat Melaka yang relatifnya panas memberikan sumber kelembapan untuk pembentukan awan ribut petir, atau garis badai yang membawa bersama hujan lebat, ribut petir dan angin kencang di pantai barat di Semenanjung Malaysia pada awal pagi.

Ciri-Ciri Sumatras
Berikut antara ciri fenomena garis badai ini;
Berlaku semasa Monsun Barat Daya
Kelompok awan ribut petir aktif yang berada dalam satu barisan di laut & bergerak ke daratan
Panjangnya boleh mencapai beratus kilometer dan tempoh hayat sehingga beberapa jam.
Berlaku di kawasan-kawasan bersempadanan dengan laut seperti pantai barat Semenanjung, barat Sabah dan Sarawak.
Lazimnya terbentuk pada sebelah pagi atau malam
Tanda-Tanda Kewujudan Garis Badai
Kelihatan pembentukan awan jalur tebal yang naik meninggi dan datang dari arah laut.
Kelajuan angin meningkat secara mendadak menjadi langkisau semasa Sumatras menghampiri.
Suhu menurun secara mendadak

Bila Ia Berlaku?
Fenomena ini selalunya berlaku semasa menjelang subuh dan awal pagi serta paling kerap berlaku antara bulan April hingga November. Namun, garis badai kadangkala boleh terbentuk pada waktu petang dan bergerak ke daratan seiring dengan angin lazim.
Kesan Sumatras
Hujan lebat yang boleh menyebabkan banjir kilat.
Angin kencang guruh dan petir
Laut bergelora dan berombak
Berbahaya kepada operasi penerbangan dan perkapalan
Kerosakan harta benda dan kemudahan awam
Saranan Ketika Garis Sumatras
Berada di tempat yang selamat
Tidak mengadakan aktiviti laut atau pantai
Pindah ke tempat yang lebih tinggi jika banjir dijangka berlaku

Sumber: Jabatan Meteorologi Malaysia (1), (2)