Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Kemalangan Maut Babitkan Jurutera Elektrik, Pemandu Lori Tangki Direman

Athirah
Pemandu Lori Tangki Direman
Kredit: Astro Awani

Kemalangan Maut Babitkan Jurutera Elektrik, Pemandu Lori Tangki Direman

KUALA LUMPUR, 31 Ogos (Bernama) — Pemandu lori tangki yang terbabit dalam kemalangan maut melibatkan seorang jurutera elektrik di Kilometer 292.8 Lebuhraya PLUS semalam, direman tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Kajang ACP Naazron Abdul Yusof berkata lelaki berusia 27 tahun itu ditahan di kawasan Kajang semalam, namun tidak menyatakan masa sebenar penahanan berkenaan.

“Siasatan awal mendapati pemandu dipercayai terlelap sebelum kenderaan dipandunya memasuki lorong kecemasan (lalu menghimpit motosikal mangsa),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Bernama melaporkan seorang jurutera elektrik berusia 39 tahun maut selepas motosikal ditunggangi mangsa dihimpit lori tangki dalam kejadian kira-kira 12.30 tengah hari.

Beliau berkata hasil ujian saringan air kencing mendapati pemandu lori terbabit negatif dadah dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Terdahulu, tular satu rakaman video kamera papan pemuka berdurasi lebih 33 saat yang memaparkan motosikal berada di lorong kecemasan sebelum dihimpit lori tangki yang memasuki laluan berkenaan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi balai polis berhampiran atau Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang Insp. Ahmad Zahrein Muhd Suod melalui talian 017-3818422.

BACA: “Rasa Bangga”, Ramai Kagum Tengok Latihan Udara TUDM Sebelum Hari Kebangsaan
BACA: Wanita Ditahan Cuba Serang Sultan Nazrin Semasa Sambutan Hari Kebangsaan – Polis

Sumber: Bernama