Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Indonesia Dakwa ‘Pihak Asing’ Punca Kekecohan Di Negaranya

Hannah
punca kekecohan indonesia
Gambar: detikcom via detikFinance

Indonesia Dakwa ‘Pihak Asing’ Punca Kekecohan Di Negaranya

Media Indonesia melaporkan kekecohan yang tercetus dalam siri demonstrasi di Indonesia baru-baru ini dikatakan berpunca daripada campur tangan pihak asing.

Bekas Ketua Badan Intelijen Negara (BIN), A.M. Hendropriyono mendakwa terdapat pengaruh asing di sebalik rusuhan yang berlaku di hadapan kompleks Parlimen (DPR RI) pada 28 Ogos lalu.

“Inilah yang saya tahu. Saya bukan lebih pintar daripada kalian, tetapi saya telah melalui semua pengalaman ini. Memang ada pihak yang bermain di sebaliknya. Pada waktunya nanti, saya akan dedahkan siapa pihak tersebut, dan ia datang dari luar.

“Mereka menggerakkan kaki tangan di dalam negeri, tetapi saya yakin ada yang tidak sedar mereka sedang dipergunakan. Namun, pada waktunya nanti perkara ini mesti didedahkan,” katanya kepada media di Istana Kepresidenan, Jakarta.

Pakar ekonomi tidak setuju

Bagaimanapun, pandangan berbeza dikemukakan oleh pakar ekonomi.

Menurut Pengarah Ekonomi Digital di Center of Economic and Law Studies (CELIOS), Nailul Huda, rusuhan yang berlaku bukanlah kerana campur tangan asing.

Sebaliknya, ia berpunca daripada kekecewaan rakyat terhadap keadaan ekonomi yang semakin menekan.

“Saya rasa tidak benar isu kepentingan asing. Gerakan ini lahir daripada rakyat sendiri yang marah kerana keadaan hidup semakin sukar. Sukar mencari pekerjaan, sukar mendapatkan pendapatan.

“Apabila tekanan memuncak, protes besar seperti ini berlaku,” jelasnya.

Beliau turut menegaskan bahawa demonstrasi tersebut mencerminkan kekecewaan rakyat terhadap dasar kerajaan yang dilihat tidak membela golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

Nailul turut mengkritik laporan rasmi kerajaan yang mendakwa ekonomi Indonesia meningkat.

Realitinya, menurut Nailul, ramai pekerja diberhentikan, harga barang naik mendadak dan taraf hidup rakyat semakin merosot.

Katanya lagi, percanggahan fakta ini berpotensi menjadi ‘bom waktu’ yang akhirnya meletup kerana kemarahan rakyat, bukannya campur tangan asing.

Selain itu, beliau memberi amaran bahawa ketegangan politik akibat rusuhan boleh memberi kesan langsung kepada ekonomi negara.

Sentimen negatif ini dijangka mendorong aliran keluar modal (capital outflow), malah pelabur runcit turut berisiko menarik balik pelaburan mereka.

“Ketidakstabilan politik akan mencetuskan ketidakstabilan ekonomi. Pada akhirnya, pasaran saham Indonesia (IHSG) pasti terjejas,” jelasnya.

Dalam pada itu, Pengarah Dasar dan Program di Prasasti Center for Policy Studies, Piter Abdullah turut memberi peringatan agar kerajaan bertindak bijak dalam menguruskan keadaan.

Katanya, jika demonstrasi berlarutan tanpa penyelesaian, ia boleh menjejaskan keyakinan pelabur dan menurunkan kadar pelaburan.

Hal ini juga berisiko menggagalkan sasaran pertumbuhan ekonomi serta meningkatkan kadar pengangguran dan kemiskinan.

BACA: Diplomat Indonesia Maut Ditembak Di Peru

BACA: Kemungkinan Bakal Berlaku Selepas Mahkamah AS Iktiraf Tarif Trump Tidak Sah

BACA: Setiap Rakyat Vietnam Terima Sumbangan Tunai Sempena Hari Kebangsaan

Sumber: detikFinance