Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Misteri Hilang Selama 3 Tahun Terjawab, Rangka Suami Ditemui Dalam Tangki Septik
Thailand — Lebih tiga tahun berusaha mencari suami yang hilang, seorang wanita akhirnya menemui rangka lelaki itu di dalam tangki septik di belakang rumah mereka di daerah Nong Bun Mak pada Khamis.
Memetik laporan Bangkok Post, wanita berkenaan menemui rangka suaminya ketika membersihkan kawasan itu bagi membina sebuah bilik air baharu.
Tangki berukuran satu meter lebar dan sedalam 1.5 meter itu telah lama terlindung oleh semak samun.
Wanita itu berkata dia tidak mengesyaki apa-apa mengenai punca kematian suaminya, sebaliknya percaya bahawa lelaki itu mungkin terjatuh secara tidak sengaja ke dalam tangki septik ketika mabuk.
Ujarnya, suaminya sering memeriksa longkang air hujan dan menggunakan air kumbahan dari tangki itu untuk dijadikan baja kompos.
Pakaian yang ditemui bersama rangka berkenaan termasuk baju kuning milik mangsa, meyakinkannya bahawa rangka itu adalah suaminya.
Dia juga mengimbas kembali usaha pencariannya yang tidak pernah mengenal erti penat, termasuk menjejaki setiap laporan penampakan dan membuat laporan polis.
Dakwanya, dia juga pernah bermimpi melihat suaminya di luar rumah, yang kemudian ditafsirkan jiran-jiran sebagai petanda lelaki itu telah meninggal dunia.
Rangka tersebut tidak disedari selama bertahun-tahun kerana kawasan itu dipenuhi semak samun, manakala bau yang terhidu sebelum ini disangka datang daripada baja kompos.
Sementara itu, polis akan menjalankan ujian DNA bersama anak perempuan pasangan itu bagi mengesahkan identiti.
Bagaimanapun, wanita terbabit yakin rangka berkenaan adalah milik suaminya dan bercadang mengadakan upacara keagamaan sebaik sahaja pengesahan diperoleh.
Sumber: Bangkok Post