Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah
Tiada Kategori

Rahsia Rumah Nampak Luas: Buang Barang Ini, Hidup Minimalist

suhaila
Rahsia Rumah Nampak Luas: Buang Barang Ini Hidup Minimalist
imageFX

Rahsia Rumah Nampak Luas: Buang Barang Ini dan Mulakan Gaya Hidup Minimalist

Pernahkah anda masuk ke sebuah rumah dan terus berasa tenang, lapang serta selesa walaupun ruangnya sederhana?

Rahsianya bukanlah semata-mata pada keluasan rumah atau perabot mewah tetapi pada cara pemiliknya menguruskan barang.

Gaya hidup minimalist yang kini semakin popular memberi penekanan pada kesederhanaan, kebersihan dan keteraturan.

Ia bukan hanya tentang trend dekorasi tetapi juga tentang bagaimana kita memilih untuk hidup dengan lebih ringan, bebas daripada beban barang yang tidak diperlukan.

Ramai di antara kita terikat dengan perasaan “sayang nak buang” hingga akhirnya membiarkan rumah dipenuhi dengan pelbagai barangan yang sebenarnya tidak lagi digunakan.

Lama-kelamaan, ruang yang sepatutnya menjadi tempat berehat bertukar menjadi kawasan yang sesak dan menyesakkan.

Jika anda ingin menikmati suasana rumah yang kemas, luas dan sedap mata memandang, inilah masanya untuk melepaskan.

Mari kita lihat senarai barang yang wajar dibuang bagi memulakan perjalanan ke arah kehidupan minimalist yang lebih berkualiti.

1. Pakaian lama dan jarang dipakai

Almari pakaian sering menjadi sarang utama bagi barang yang tidak diperlukan. Kita membeli baju baru tetapi enggan melepaskan yang lama hingga akhirnya almari penuh dengan pakaian yang jarang dipakai.

Ada baju yang saiznya sudah tidak muat, fesyen sudah ketinggalan atau sekadar disimpan kerana ada nilai kenangan. Hakikatnya, pakaian yang sudah lebih setahun tidak disentuh besar kemungkinan tidak akan dipakai lagi.

Begitu juga dengan kasut. Ada yang sudah lusuh, ada yang tidak selesa tetapi masih tersimpan di rak. Semua ini hanya menghalang anda daripada menikmati almari yang teratur.

Dengan melepaskan pakaian lama melalui derma atau jualan semula, anda bukan sahaja memberi ruang baru pada almari tetapi juga memberi peluang kepada orang lain untuk memanfaatkannya.

2. Kertas dan dokumen lama

Kertas walaupun kecil mampu menjadikan rumah nampak berserabut jika tidak dikawal. Resit-resit lama yang sudah tidak relevan, bil utiliti yang telah dibayar, katalog promosi, majalah bertimbun dan surat-surat lama sering kali memenuhi meja atau laci hingga menghilangkan ruang. Jika tidak ditapis, lambakan kertas ini boleh menyukarkan anda mencari dokumen penting ketika benar-benar memerlukannya.

Solusinya mudah sahaja iaitu dengan menyimpan hanya yang benar-benar penting seperti dokumen rasmi, sijil, surat perjanjian atau rekod kewangan manakala selebihnya boleh dikitar semula.

Dengan berbuat demikian, meja kerja akan kelihatan lebih luas, rak lebih teratur dan yang paling penting, anda dapat mengelakkan tekanan apabila dokumen penting mudah dicapai bila diperlukan.

3. Peralatan dapur rosak

Dapur merupakan jantung rumah tetapi ia juga mudah menjadi tempat barang tidak berguna berkumpul. Bekas plastik tanpa penutup, periuk atau kuali yang sudah berlubang, sudu dan garpu berlebihan serta pinggan mangkuk sumbing sering kali menjadi punca dapur kelihatan berselerak.

Begitu juga dengan peralatan elektrik yang rosak tetapi masih disimpan dengan alasan dan harapan agar ianya dapat diguna balik pada suatu hari nanti.

Semua ini hanya membebankan kabinet dan menyukarkan anda mencari barang yang betul ketika memasak. Bayangkan betapa mudahnya kerja memasak jika hanya barang berguna yang ada dan tersusun rapi di tempatnya.

Dapur yang ringkas dan lapang bukan sahaja memudahkan pergerakan malah menjadikan aktiviti memasak lebih menyeronokkan kerana tidak lagi perlu menggali barang dari longgokan.

4. Barang kosmetik dan penjagaan diri tamat tempoh

Selain itu, meja solek atau rak bilik mandi sering kali penuh dengan produk kecantikan yang sudah tamat tempoh atau tidak lagi digunakan.

Ada lipstik yang sudah kering, bedak asas yang berubah warna, losyen yang lama tidak disentuh atau syampu yang hanya digunakan separuh botol.

Produk seperti ini bukan sahaja memenuhkan ruang malah berisiko merosakkan kulit jika digunakan semula.

Menyimpan kosmetik lama juga menyukarkan anda mencari produk yang benar-benar digunakan setiap hari. Dengan membuang produk lama, koleksi yang tinggal akan lebih teratur, bersih dan mudah dicapai.

Hasilnya, rutin penjagaan diri anda akan menjadi lebih ringkas tetapi tetap berkesan, selari dengan konsep minimalisme yang menekankan “guna yang perlu sahaja”.

BACA : 7 Perkara, Tip Penting Sebelum Anda Bercuti Ke China

5. Perabot dan hiasan yang tidak digunakan

Perabot yang patah, kerusi goyah, meja yang jarang digunakan atau almari lama yang hanya menyempitkan ruang sepatutnya dilepaskan.

Begitu juga dengan hiasan kecil yang terlalu banyak hingga membuatkan ruang tamu kelihatan sesak dan penuh habuk. Ingatlah prinsip minimalis, lebih sedikit barang lebih besar impaknya.

Daripada memenuhi ruang dengan hiasan kecil tanpa nilai, pilih hanya beberapa hiasan utama yang benar-benar memberi kesan visual dan sentimental.

Dengan itu, ruang tamu akan terasa lebih lapang, moden, kemas dan menyenangkan setiap kali anda melangkah masuk.

6. Mainan dan barang kanak-kanak lama

Bagi yang mempunyai anak kecil pula, mainan boleh menjadi punca utama rumah bersepah. Mainan yang sudah rosak, tidak sesuai lagi dengan umur anak atau permainan yang sudah tidak lengkap hanya akan memenuhi ruang simpanan.

Lambakan mainan ini juga membuatkan anak sukar fokus pada permainan yang mereka gemari kerana terlalu banyak pilihan.

Selesaikan masalah ini dengan menyusun semula mainan, memilih yang masih elok dan sering dimainkan. Manakala selebihnya boleh didermakan.

Selain memberi ruang baru di rumah, anda juga mengajar anak tentang nilai berkongsi dan mengelakkan budaya menyimpan barang yang tidak perlu.

7. Wayar dan kabel tidak dikenali

Setiap rumah pasti ada satu laci khas yang dipenuhi kabel lama, charger telefon yang sudah tiada gunanya atau wayar yang sudah rosak tetapi masih disimpan.

Kadang-kadang kita sendiri tidak tahu peranti apa yang sepatutnya dipadankan dengan kabel tersebut. Laci sebegini bukan sahaja semak malah membuang masa setiap kali anda cuba mencari kabel yang betul untuk digunakan.

Jalan penyelesaiannya mudah. Asingkan kabel yang masih digunakan dan labelkan untuk memudahkan pencarian manakala selebihnya buang atau kitar semula.

Dengan ini, ruang simpanan menjadi lebih lapang, teratur dan tidak lagi membuatkan anda pening kepala setiap kali mencari charger.

8. Makanan dan barang dapur tamat tempoh

Sering kali kita menyimpan stok makanan dengan niat berjaga-jaga tetapi akhirnya terlupa untuk menggunakannya.

Hasilnya, biskut yang sudah lemau, sos yang tamat tarikh luput, rempah yang berhabuk atau minuman dalam tin yang sudah berbulan dalam peti sejuk hanya memenuhi kabinet dan peti sejuk.

Bukan sahaja membazir, malah ia boleh membahayakan kesihatan jika termakan secara tidak sengaja. Jadikan rutin bulanan untuk menyemak stok makanan di dapur.

Dengan cara ini, anda bukan sahaja mengelakkan pembaziran tetapi juga memastikan bahan yang tinggal sentiasa segar dan selamat dimakan.

9. Koleksi lama tanpa nilai praktikal

Antara lain, kebiasaan menyimpan barang yang anda sayang untuk buang seperti botol kosong, balang kaca, koleksi cenderahati kecil atau barang hiasan dari percutian lama sebenarnya hanya menjadikan rumah penuh habuk.

Walaupun ada sesetengah barang mempunyai nilai sentimental, anda perlu menilai semula sama ada ia benar-benar memberi makna atau sekadar disimpan tanpa tujuan.

Gaya hidup minimalist mengajar kita untuk lebih bijak memilih. Menyimpan hanya yang benar-benar membawa kegembiraan atau kegunaan.

Selebihnya, lepaskan. Dengan begitu, rumah akan kelihatan lebih lapang, kemas dan bebas daripada barang kecil yang tidak berfungsi.

10. Tilam, bantal dan kain lama

Bantal yang sudah tenggelam, cadar koyak, tuala lusuh atau langsir pudar memberi kesan besar kepada suasana rumah. Ia bukan sahaja menjejaskan estetika malah boleh menjadi tempat pembiakan habuk dan bakteria.

Menyimpan kain lama dengan alasan boleh guna untuk kerja rumah akhirnya hanya membuatkan stor penuh tanpa kegunaan sebenar. Sebaliknya, gantikan dengan yang baru dan segar.

Tilam yang elok, bantal yang empuk, cadar yang bersih dan langsir yang cantik akan serta-merta mengubah aura bilik menjadi lebih nyaman, menenangkan dan sesuai untuk berehat.

Oleh itu, mengamalkan gaya hidup minimalist bukan tentang mengosongkan rumah sepenuhnya tetapi tentang memilih untuk hidup hanya dengan barang yang benar-benar memberi nilai.

Prinsipnya mudah. Jika sesuatu barang sudah rosak, tidak digunakan lebih setahun atau tidak lagi membawa manfaat, ia tidak layak berada dalam ruang rumah anda.

Dengan menyingkirkan barang-barang ini, anda bukan sahaja menjadikan rumah lebih luas dan kemas tetapi juga memberi ruang kepada diri sendiri untuk bernafas, bergerak dan menikmati suasana yang lebih damai.

Inilah rahsia sebenar rumah yang lapang dan kehidupan yang lebih tenang. Buang yang tidak perlu, dan menghargai yang benar-benar penting.

Sumber : thelifestyle, bhg.com

BACA : Ini 14 Kategori Barang Boleh Dibeli Dengan SARA RM100