Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah
Tiada Kategori

23 Sukarelawan GSF Malaysia Terima Telefon Bimbit Baharu Daripada Fahmi

Sofea
23 sukarelawan gsf
Kredit: Bernama

23 Sukarelawan GSF Malaysia Terima Telefon Bimbit Baharu Daripada Fahmi

SEPANG, (Bernama) — Sebagai tanda penghargaan kepada 23 sukarelawan Malaysia dalam misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil telah menyumbangkan telefon bimbit baharu kepada mereka yang terlibat.

Fahmi berkata sumbangan tersebut bertujuan memudahkan komunikasi dan urusan peribadi sebaik kembali ke tanah air, selain membantu sukarelawan terus berkongsi pengalaman dan maklumat misi melalui saluran komunikasi digital dengan lebih efisien.

Beliau berkata sumbangan kecil itu adalah sebagai tanda penghargaan dan terima kasih kerana telah mewakili rakyat Malaysia dalam misi kemanusiaan GSF, serta memberikan informasi sepanjang berada di atas kapal.

“Usaha dan semangat para sukarelawan misi GSF amat dihargai kerajaan,” katanya.

Selain Fahmi, ketibaan kumpulan sukarelawan itu disambut Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar serta wakil agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) serta ahli keluarga.

BACA JUGA: GSF: Air Mata Syukur Iringi Kepulangan 23 Sukarelawan Malaysia Ke Tanah Air

Penerbangan Emirates EK342 yang membawa kesemua 27 sukarelawan Malaysia termasuk empat orang dari kapal pemerhati serta lima peguam mendarat pada 10.07 malam, Selasa.

Pada 2 Okt, rejim Israel telah memintas kesemua 42 kapal misi kemanusiaan GSF ke Gaza dan menahan 495 aktivis termasuk 23 aktivis Malaysia, yang kemudian dibebaskan secara berperingkat bermula 4 Okt.

Jumaat lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan akan menggantikan telefon bimbit kepada 23 sukarelawan GSF yang terpaksa dibuang ke laut mengikut prosedur operasi standard (SOP) keselamatan yang dilatih sebelum pelayaran.

SOP tersebut adalah langkah berjaga-jaga sekiranya kapal ditahan tentera Israel dengan semua delegasi telah menerima taklimat dan latihan praktikal sebelum memulakan misi kemanusiaan mereka.

Sumber: BERNAMA