Pemohon Dikehendaki Daftar Akaun MySTR Baharu Bagi Permohonan STR 2026
Sumbangan Tunai Rahmah (STR) merupakan salah satu inisiatif kerajaan Malaysia untuk membantu meringankan beban kos sara hidup golongan berpendapatan rendah dan sederhana di seluruh negara.
Kerajaan MADANI baru-baru ini mengumumkan peningkatan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) kepada RM15 bilion bagi tahun 2026.
Ia sebagai salah satu inisiatif kerajaan dalam meringankan bebas kos sara hidup rakyat selain hasil penjimatan yang diraih dari penyasaran subsidi seperti diesel dan RON95.
Selain itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut berkata, kesemua sembilan juta penerima SARA turut menerima RM100 setiap bulan bagi tahun 2026.
Sehubungan itu, mereka yang layak menerima bantuan ini perlu mengemaskini permohonan untuk mengelakkan daripada keciciran.
Cara kemas kini STR 2026
Menerusi portal Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia, semua pemohon dikehendaki mendaftar akaun MySTR baharu bagi permohonan STR 2026, walaupun telah mempunyai MySTR pada tahun-tahun sebelumnya.

Difahamkan, tempoh permohonan baharu dan perubahan permohonan adalah sepanjang tahun mulai 13 Oktober 2025
Bagi pemegang STR yang tidak mengemas kini permohonan mereka selama tiga tahun berturut-turut, mereka dikehendaki mengemaskini permohonan STR bagi tahun 2026.

Individu yang belum pernah mengemas kini maklumat peribadi akaun STR, terdapat dua cara yang anda boleh lakukan, iaitu hadir secara fizikal (walk-in) atau secara atas talian.
Bagi yang memilih untuk kemas kini maklumat secara manual, anda perlu menghadirkan diri ke kaunter Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Pejabat Satelit (PS) atau Pusat Transformasi Bandar (UTC) yang berdekatan.
Kemas kini secara dalam talian
Lawati portal rasmi STR LHDNM di https://bantuantunai.hasil.gov.my dan log masuk ke akaun MySTR anda menggunakan ID pengguna (No. MyKad) dan kata laluan yang telah didaftarkan.
Kemudian, sistem akan ke halaman Semakan Pemohon.
Menurut LHDN, jika pemohon telah membuat permohonan STR tetapi tidak mempunyai akaun STR, pemohon mestilah mendaftar terlebih dahulu.
Klik ‘Daftar Pengguna Baru’ untuk mendaftar akaun STR. Sila rujuk panduan pengguna Daftar MySTR 2026.
Bagi pemohon yang mempunyai akaun STR, sila klik butang ‘SEMAK’ untuk teruskan log masuk ke halaman dashboard.
Masukkan ID Pengguna dan Kata Laluan yang telah didaftarkan
Paparan Dashboard akan dipaparkan. Klik menu ‘Kemas kini Permohonan’ setelah berjaya log masuk MySTR.
Selepas itu, maklumat permohonan akan dipaparkan secara automatik berdasarkan maklumat terkini permohonan yang dihantar secara dalam talian atau berdasarkan permohonan STR 2025.
Penerima STR perlu pilih Kemas Kini Permohonan untuk mengemas kini Maklumat Pemohon, Pasangan, Anak dan Waris.
Langkah seterusnya ialah pastikan anda turut mengirim Dokumen Sokongan sebagai bukti kemas kini.
Selain itu, kemas kini ruangan yang disediakan sekiranya ada perubahan maklumat mengenai waris.
Menurut LHDN, jika maklumat waris “Sama Seperti Maklumat Pasangan”, ruangan Hubungan akan diisi sebagai Pasangan.
Difahamkan, Jenis Pengenalan, No Pengenalan dan Nama Waris juga akan diisi menggunakan data pada maklumat pasangan dan maklumat tersebut tidak boleh dipinda.
Setelah memastikan semua maklumat adalah benar, pengesahan Kod CAPTCHA akan dipaparkan. Pilih Teruskan untuk membuat pengesahan.
Sumber: Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia