Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Jangan Abaikan: 6 Bahagian Kereta Yang Wajib Cek Setiap Bulan
Ramai pemilik kenderaan hanya akan mula risau tentang keadaan kereta apabila ia mula menunjukkan tanda-tanda kerosakan seperti enjin tersengguk, suhu naik mendadak atau tayar tiba-tiba kempis di tengah jalan.
Hakikatnya, kebanyakan kerosakan besar boleh dielakkan jika pemeriksaan asas dilakukan secara konsisten.
Menjaga kereta bukan sekadar tentang memastikan ia kelihatan elok dari luar tetapi lebih kepada memastikan prestasi sentiasa lancar dan tahap keselamatan terjamin setiap kali berada di atas jalan raya.
Melakukan pemeriksaan asas ini tidak memerlukan kemahiran mekanik profesional. Dengan sedikit perhatian dan rutin bulanan yang konsisten, anda boleh mengesan kerosakan kecil sebelum ia berubah menjadi masalah besar dan mahal untuk dibaiki.
Lebih menarik, kereta yang dijaga dengan baik bukan sahaja menjimatkan kos jangka panjang tetapi juga dapat meningkatkan kecekapan bahan api.
Selain itu ia juga dapat mengelakkan kerosakan mengejut serta memberikan pengalaman pemanduan yang lebih selesa.
Pendek kata, meluangkan sedikit masa untuk memeriksa kereta setiap bulan ibarat melabur untuk keselamatan dan ketenangan diri anda.
Enam bahagian utama kereta yang sering dipandang ringan ini sebenarnya memainkan peranan besar dalam memastikan kenderaan sentiasa berada dalam keadaan tip-top dan bersedia menghadapi apa jua situasi di jalan raya.
Sedikit usaha hari ini boleh menyelamatkan anda daripada kerosakan yang menyusahkan pada masa akan datang.
Minyak enjin ibarat nadi utama kepada jantung kenderaan. Ia berfungsi melincirkan setiap komponen enjin supaya pergerakan menjadi lancar dan suhu dapat dikawal pada tahap optimum.
Bayangkan jika enjin anda beroperasi tanpa minyak pelincir yang mencukupi. Geseran yang berlaku antara komponen logam boleh menyebabkan kepanasan melampau, enjin haus lebih cepat dan akhirnya mengalami kerosakan serius.
Ramai pemandu mengabaikan hal ini kerana menganggap selagi kereta boleh dihidupkan, semuanya baik-baik saja.
Pemeriksaan minyak enjin sebenarnya sangat mudah. Cabut dipstick, lap dengan kain bersih, masukkan semula dan tarik keluar untuk melihat paras minyak.
Jika ia berada di bawah paras minimum atau warnanya terlalu hitam dan pekat, itu petanda bahawa minyak perlu ditambah atau diganti segera.
Pastikan juga anda menggunakan jenis minyak enjin yang sesuai dengan spesifikasi kereta. Pemeriksaan ini walaupun nampak remeh mampu mengelakkan kerosakan enjin yang boleh menelan belanja ribuan ringgit untuk dibaiki.
Enjin yang terlalu panas boleh menjadi pembunuh senyap kepada ketahanan jangka panjang kenderaan anda. Di sinilah air radiator dan coolant memainkan peranan penting.
Ia membantu menstabilkan suhu enjin supaya tidak terlalu panas ketika beroperasi. Malangnya ramai pemandu hanya menyedari kepentingan sistem penyejukan apabila enjin mula berasap atau suhu melonjak ke tahap bahaya.
Ketika itu kerosakan sudah pun berlaku dan kos pembaikan boleh menjadi sangat tinggi.
Setiap bulan, pastikan anda memeriksa paras air radiator dan coolant dalam takungan. Pemeriksaan perlu dilakukan ketika enjin dalam keadaan sejuk bagi mengelakkan risiko melecur.
Pastikan parasnya mencukupi dan warna coolant tidak berubah terlalu keruh atau kotor. Jika paras air sering berkurangan dengan cepat, itu mungkin tanda ada kebocoran pada sistem penyejukan.
Selain itu, pastikan kipas radiator juga berfungsi dengan baik kerana kegagalan pada kipas boleh menyebabkan suhu enjin naik mendadak.
Langkah pencegahan kecil seperti ini boleh memanjangkan hayat enjin dan mengelakkan kerosakan besar yang tidak dijangka.
3. Tayar dan tekanan angin
Antara lain, tayar juga merupakan satu-satunya bahagian kereta yang bersentuhan terus dengan permukaan jalan raya.
Namun ironinya, ia juga antara komponen yang paling kurang diberi perhatian. Ramai hanya perasan tayar kempis apabila ia benar-benar kelihatan leper atau apabila stereng terasa berat.
Padahal tekanan tayar yang tidak betul bukan sahaja menjejaskan kestabilan kenderaan malah boleh meningkatkan penggunaan bahan api serta menyebabkan tayar haus tidak sekata.
Dalam kes yang lebih ekstrem, ia juga boleh mengundang risiko tayar meletup terutama pada kelajuan tinggi.
Periksa tekanan tayar sekurang-kurangnya sekali sebulan. Gunakan alat pengukur tekanan atau manfaatkan kemudahan di stesen minyak.
Tekanan angin seharusnya mengikut cadangan pengeluar. Biasanya tertera pada pelekat di pintu pemandu. Selain tekanan, perhatikan juga keadaan bunga tayar.
Jika coraknya haus secara tidak sekata, itu mungkin petanda sistem alignment atau suspension tidak seimbang. Tayar yang baik memberikan cengkaman yang optimum, menjadikan pemanduan lebih selamat dan selesa terutama dalam keadaan jalan licin atau hujan lebat.
Mungkin ramai yang tidak menyedari bahawa lampu kenderaan bukan sekadar aksesori atau hiasan. Ia adalah sistem komunikasi utama antara anda dan pengguna jalan raya yang lain.
Lampu depan membantu anda melihat jalan dengan jelas ketika malam atau cuaca buruk manakala lampu belakang dan isyarat memberitahu pemandu lain tentang pergerakan anda.
Sekiranya lampu rosak atau malap, anda bukan sahaja mengundang bahaya kepada diri sendiri malah berisiko menyebabkan kemalangan yang melibatkan orang lain.
Pemeriksaan lampu boleh dilakukan sendiri di rumah. Hidupkan lampu utama, lampu brek, lampu belakang dan signal untuk memastikan semuanya menyala dengan terang.
Jika ada lampu yang malap, berkelip-kelip atau tidak menyala langsung, gantikan dengan segera. Lampu yang berfungsi dengan baik membantu meningkatkan tahap keselamatan terutama pada waktu malam di jalan gelap atau dalam hujan lebat.
Ia juga memastikan anda lebih mudah dilihat oleh kenderaan lain serta mengurangkan risiko perlanggaran daripada arah belakang.
5. Sistem brek
Sistem brek yang baik juga boleh membezakan antara situasi selamat dan kemalangan. Ia adalah komponen paling kritikal yang memastikan anda dapat menghentikan kenderaan tepat pada masanya.
Namun apabila brek mula haus atau minyak brek berkurangan, jarak berhenti akan menjadi lebih panjang dan ini boleh membahayakan anda serta pengguna jalan raya lain.
Ramai pemandu hanya menyedari masalah brek apabila ia sudah menjadi terlalu serius. Contohnya apabila pedal brek terasa lembik, berbunyi atau bergetar ketika ditekan.
Untuk memastikan brek sentiasa dalam keadaan baik, periksa paras minyak brek dalam takungan sekurang-kurangnya sebulan sekali.
Paras yang terlalu rendah mungkin menunjukkan pad brek semakin haus atau ada kebocoran pada sistem. Selain itu, perhatikan respon pedal brek ketika membrek.
Jika terasa tidak normal, segera bawa ke bengkel untuk pemeriksaan lanjut. Ingat, brek bukan sekadar komponen biasa. Ia adalah nyawa anda di jalan raya. Sedikit kelalaian boleh mengundang padah yang besar.
Bateri adalah nadi utama sistem elektrik kenderaan. Ia membekalkan tenaga untuk menghidupkan enjin dan menyokong pelbagai komponen elektronik seperti lampu, sistem audio, penghawa dingin dan banyak lagi.
Namun, kerana ia tidak kelihatan rosak secara fizikal, ramai pemandu mengabaikan pemeriksaan berkala terhadap bateri. Akibatnya, kereta tiba-tiba tidak boleh dihidupkan.
Selalunya keadaan ini berlaku pada saat-saat genting seperti awal pagi sebelum ke tempat kerja.
Untuk mengelakkan keadaan ini, semak keadaan bateri sekurang-kurangnya sekali sebulan. Pastikan terminal tidak berkarat atau longgar dan perhatikan tarikh luput bateri yang biasanya tercatat di bahagian atas.
Jika enjin sukar dihidupkan, lampu dashboard berkelip atau sistem elektrik menjadi perlahan. Itu tanda jelas bateri mungkin sudah lemah.
Melakukan penggantian awal sebelum ia benar-benar mati boleh mengelakkan anda daripada situasi cemas yang tidak diingini.
Kesimpulannya, menjaga kereta bukan semata-mata soal penampilan atau prestasi tetapi tentang tanggungjawab dan keselamatan.
Pemeriksaan bulanan terhadap enam bahagian utama kereta ini boleh membantu anda mengesan masalah lebih awal, mengelakkan kos pembaikan yang besar dan paling penting memastikan pemanduan sentiasa selamat dan lancar.
Bayangkan betapa banyak masa, wang dan tenaga boleh dijimatkan jika kerosakan dapat dicegah sebelum ia berlaku.
Lebih daripada itu, kereta yang dijaga dengan baik memberikan ketenangan fikiran. Anda tidak lagi perlu risau tentang enjin mati di tengah jalan, tayar pecah secara tiba-tiba atau brek yang gagal berfungsi.
Jadi mulai sekarang, jadikan pemeriksaan setiap bahagian kereta sebagai rutin bulanan seperti sama pentingnya seperti menjaga kesihatan diri sendiri.
BACA : Cara Kekalkan Prestasi Laptop, PC Tanpa Perlu “Upgrade Hardware”