Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Percutian ke Korea Boleh Spoil Kalau Pergi Waktu Ni, Ini Sebabnya
Bila sebut tentang percutian ke Korea pasti ramai yang terus terbayang suasana romantik musim salji, bunga sakura yang mekar indah, daun luruh berwarna keemasan dan deretan kafe cantik yang memenuhi setiap sudut bandar.
Tak hairanlah negara ini menjadi antara destinasi kegemaran rakyat Malaysia untuk percutian luar negara. Namun realitinya tak seindah gambar yang anda lihat di media sosial.
Jika tersalah pilih musim, percutian impian boleh bertukar menjadi satu pengalaman yang serba tidak kena. Basah kuyup dalam hujan lebat, terperangkap dalam kesesakan semasa musim perayaan atau menggigil kesejukan dalam suhu melampau hingga tak sempat pun menikmati pemandangan.
Ramai pelancong teruja merancang itinerari, menempah tiket penerbangan dan menyusun aktiviti dari awal tetapi kurang memberi perhatian kepada faktor musim dan cuaca sebenar di Korea.
Ini kesilapan yang ramai tak sedar. Ini kerana di negara empat musim, keadaan boleh berubah dengan sangat cepat dan drastik.
Musim hujan yang berlarutan, kabus tebal, musim panas yang terlalu terik atau risiko ais hitam (black ice) ketika musim sejuk boleh menjejaskan pergerakan, keselamatan dan juga keselesaan sepanjang percutian.
Tambah pula bila kena pula musim perayaan besar seperti Chuseok dan Seollal, pelancong boleh terperangkap dalam kesesakan luar biasa dan harga penginapan yang melambung tinggi.
Sebab itulah, memilih masa yang sesuai untuk percutian ke Korea bukan sekadar soal nak tengok salji atau nak kejar bunga sakura tetapi berkait rapat dengan pengalaman keseluruhan percutian anda.
Percutian yang dirancang dengan baik boleh menjadi memori manis seumur hidup. Manakala percutian yang tersalah waktu boleh menjadi kenangan pahit yang sukar dilupakan.
Jadi sebelum anda check out tiket murah ke Korea, pastikan anda tahu waktu mana yang patut dielakkan supaya trip anda benar-benar berbaloi dan bebas drama.
Peralihan musim di Korea sering kali menjadi tempoh yang paling sukar untuk dijangka. Ini menjadikannya kurang sesuai untuk melancong.
Peralihan musim ini akan berlaku beberapa kali dalam setahun. Iaitu awal Mac (dari musim sejuk ke musim bunga), September (dari musim panas ke musim luruh) dan pertengahan November (dari musim luruh ke musim sejuk).
Pada waktu-waktu ini, cuaca boleh berubah secara mendadak dan drastik. Pagi mungkin cerah dan nyaman namun menjelang petang hujan lebat atau ribut angin boleh melanda secara tiba-tiba.
Kadang-kadang pula suhu menjunam dalam masa beberapa jam. Keadaan ini menyebabkan ramai pelancong tidak bersedia dengan pakaian yang sesuai.
Bayangkan anda sedang menikmati pemandangan bunga pertama musim bunga atau daun keemasan musim luruh tiba-tiba angin kencang bertiup disusuli hujan renyai.
Suasana romantik boleh bertukar tidak selesa dalam sekelip mata. Setiap peralihan musim juga membawa cabaran tersendiri.
Awal Mac sering disertai angin sejuk sisa musim dingin kadangkala masih ada salji cair dan cuaca terasa tidak stabil. September pula terkenal dengan ribut petir atau hujan kilat akibat sisa musim panas.
Manakala pertengahan November lazimnya disertai udara kering dan hembusan angin sejuk pertama yang tajam.
Selain ketidakselesaan, banyak tarikan pelancongan luar seperti taman, laluan mendaki dan kawasan rekreasi mungkin terjejas atau ditutup sementara demi keselamatan pengunjung.
Jika anda merancang untuk banyak aktiviti luar, elakkan musim peralihan ini dan pilih waktu yang lebih stabil supaya setiap hari percutian anda benar-benar dapat dimanfaatkan sepenuhnya.
2. Perayaan besar: Chuseok dan Seollal
Kedua-dua perayaan ini merupakan antara cuti umum paling besar di Korea. Chuseok biasanya disambut sekitar bulan September, manakala Seollal atau Tahun Baru Lunar Korea diraikan sekitar bulan Februari.
Pada waktu ini, hampir seluruh penduduk tempatan akan pulang ke kampung halaman. Akibatnya, pengangkutan awam menjadi sangat sesak, lebuh raya dipenuhi kenderaan dan penginapan di bandar utama sukar ditempah.
Harga hotel, tiket kereta api dan bas turut meningkat dengan mendadak.
Bukan itu sahaja, banyak kedai dan restoran kecil akan tutup kerana pemiliknya bercuti. Keadaan ini akan menjadikan pilihan makanan dan aktiviti pelancong agak terhad.
Bagi pelancong asing, ini bukan masa terbaik untuk menikmati pengalaman yang tenang dan santai. Anda mungkin perlu beratur panjang, menunggu lama dan berdepan kesesakan luar biasa.
Jika anda mahu percutian yang lebih lancar dan selesa sebaiknya elak melancong sekitar dua minggu sebelum dan selepas tarikh perayaan besar ini.
Musim sejuk di Korea memang cantik tetapi ia juga membawa risiko keselamatan yang ramai pelancong terlepas pandang. Terutamanya fenomena black ice.
Ini merujuk kepada lapisan ais nipis yang tidak kelihatan pada permukaan jalan terutamanya pada waktu awal pagi atau lewat malam.
Ia sangat berbahaya kerana walaupun jalan nampak kering dan selamat, sebenarnya licin dan boleh menyebabkan tergelincir.
Bagi mereka yang merancang untuk menyewa kereta atau banyak berjalan kaki, risiko ini sangat besar. Ramai pelancong terjatuh atau mengalami kemalangan kecil hanya kerana tidak menyedari kewujudan ais tersebut.
Selain itu, suhu yang sangat rendah boleh menjadi cabaran terutamanya bagi mereka yang tidak biasa dengan cuaca beku.
Jika anda tidak mahu percutian terganggu dengan risiko keselamatan dan keselesaan, elakkan tempoh musim sejuk melampau terutamanya pada bulan Januari dan Februari.
4. Kedai dan tempat tarikan tutup awal ketika musim dingin
Selain jalan licin, satu lagi perkara yang ramai tak tahu ialah kebanyakan kedai, kafe dan tarikan pelancongan di Korea akan menutup operasi lebih awal pada musim sejuk.
Waktu siang juga lebih pendek iaitu sekitar jam 5 petang sudah gelap. Aktiviti luar akan menjadi lebih terhad. Ini bermaksud jadual harian anda perlu sangat padat jika ingin melawat banyak tempat dalam sehari.
Kalau anda jenis suka berjalan santai, minum kopi di tepi jalan dan ambil gambar lama-lama musim ini mungkin tidak sesuai.
Anda mungkin akan lebih banyak terkurung di dalam bangunan bagi mengelakkan kesejukan sekaligus menghadkan pengalaman sebenar meneroka bandar atau kawasan luar bandar Korea.
Waktu puncak seperti musim luruh dan musim sejuk khususnya Disember merupakan musim kegemaran pelancong dari seluruh dunia untuk ke Korea.
Ini menjadikan harga penginapan, tiket penerbangan dan juga tiket masuk ke tempat pelancongan meningkat secara mendadak.
Kalau anda tidak menempah lebih awal, besar kemungkinan anda terpaksa membayar harga yang jauh lebih mahal atau terpaksa memilih penginapan yang tidak begitu selesa.
Bagi pelancong bajet, ini boleh menjadi satu tamparan besar. Malah, walaupun anda sanggup berbelanja lebih, sesetengah tempat mungkin sudah habis ditempah sebulan awal.
Jadi, perancangan rapi sangat penting atau lebih baik, pilihlah musim yang tidak terlalu sesak.
6. Musim panas: Jun hingga Ogos
Ramai pelancong tidak menyedari bahawa musim panas di Korea jauh lebih ekstrem daripada di Malaysia.
Dari bulan Jun hingga Ogos, terutamanya pada bulan Ogos, suhu boleh mencecah lebih 35°C dengan kelembapan tinggi yang menjadikan udara terasa berat dan panas mencengkam.
Aktiviti luar seperti melawat istana, berjalan di pasar atau mendaki bukit boleh menjadi sangat meletihkan. Malah risiko strok haba juga meningkat jika terlalu lama berada di bawah terik matahari.
Perubahan suhu mendadak antara cuaca panas di luar dan hawa dingin di dalam bangunan pula boleh menyebabkan ketidakselesaan seperti sakit kepala atau demam ringan.
Jika anda mahukan percutian yang lebih tenang dan selesa, sebaiknya elakkan melancong ke Korea pada musim panas khususnya bulan Ogos.
Pilih musim yang lebih sejuk serta nyaman untuk menikmati perjalanan dengan lebih selesa.
Jika anda betul-betul mahu menikmati keindahan Korea tanpa perlu menempuh kesesakan atau cuaca ekstrem, waktu paling sesuai ialah musim shoulder season.
Iaitu tempoh antara musim puncak dan musim sepi. Contohnya, akhir musim bunga (Mei hingga awal Jun) atau awal musim luruh (akhir September).
Cuaca lebih stabil, suhu sederhana dan tidak terlalu sesak dengan pelancong.
Bukan sahaja pengalaman lebih tenang dan menyeronokkan malah anda juga boleh berjimat dari segi kos penginapan dan pengangkutan.
Banyak tempat pelancongan boleh dinikmati dengan lebih santai tanpa perlu berebut tempat atau menunggu terlalu lama.
Kesimpulannya, percutian ke Korea sememangnya satu pengalaman yang menarik tetapi hanya jika anda memilih masa yang betul.
Peralihan musim yang tidak menentu, perayaan besar yang sesak, risiko black ice dan suhu ekstrem boleh merencatkan keseronokan jika anda tidak membuat perancangan awal.
Sebaliknya dengan memilih waktu yang sesuai dan merancang dengan bijak, anda boleh menikmati keindahan negara ini dalam keadaan lebih selesa dan tenang.
Jadi sebelum menekan butang confirm booking, semak dulu musim dan keadaan semasa. Percayalah, percutian yang dirancang dengan baik bukan saja lebih menyeronokkan tapi juga lebih berbaloi dan selamat.
BACA : 10 Cara Bijak Guna Kereta Elektrik Supaya Lebih Lancar
Sumber : worldtraveltoucan, sg.hotels