Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

7 Jenis Scam Kena Hati-hati Ketika Melancong
Melancong ke destinasi baharu sememangnya pengalaman yang dinanti-nantikan oleh ramai orang. Ia merupakan masa untuk berehat daripada kesibukan harian, menikmati budaya berbeza dan mencipta kenangan yang indah.
Namun di sebalik keseronokan itu wujud satu ancaman yang sering dipandang ringan iaitu scam atau sindiket penipuan pelancongan yang semakin licik dan terancang.
Mereka tidak memilih mangsa secara rawak sebaliknya menyasarkan pelancong yang kelihatan baru tiba, keletihan atau terlalu teruja sehingga mudah mempercayai orang yang tidak dikenali.
Realitinya, taktik penipuan atau scam pelancongan kini jauh lebih canggih daripada sekadar helah jalanan.
Ada yang menyamar sebagai pemandu teksi rasmi, ejen pelancongan sah atau menggunakan laman web tempahan palsu yang kelihatan sangat meyakinkan.
Tidak kurang juga yang memasang perangkap secara senyap melalui WiFi percuma dan tawaran percutian yang kononnya menarik.
Semua ini dirancang dengan teliti bagi memperdaya pelancong yang kurang peka atau tergesa-gesa membuat keputusan.
Mujurlah banyak penipuan ini sebenarnya boleh dielakkan sekiranya kita tahu bagaimana taktiknya berfungsi.
Menyedari bentuk-bentuk scam yang sering digunakan boleh menjadi perisai terbaik untuk melindungi diri ketika melancong.
Dalam artikel ini, kami akan kongsikan 7 jenis scam pelancongan yang paling kerap berlaku supaya anda boleh mengenal pasti amaran awal dan melancong dengan lebih tenang, selamat dan bijak.
Salah satu taktik scam pelancongan yang paling klasik tetapi masih sangat berkesan ialah percutian percuma.
Ia sering datang dalam bentuk mesej, e-mel atau panggilan telefon yang menyatakan anda memenangi percutian mewah walaupun tidak pernah menyertai sebarang pertandingan.
Tawaran ini kelihatan sangat meyakinkan. Ianya siap dengan gambar hotel mewah, tiket penerbangan kononnya sudah ditempah dan wakil syarikat yang berbicara dengan nada profesional.
Namun di sebalik semua itu sebenarnya terdapat jerat yang tersembunyi.
Scammer biasanya akan meminta anda membuat bayaran kecil terlebih dahulu atas alasan cukai lapangan terbang atau caj pentadbiran.
Ramai mangsa yang akhirnya kehilangan ratusan hingga ribuan ringgit kerana percaya dengan janji manis tersebut.
Realitinya, tiada percutian percuma yang benar-benar wujud tanpa syarat tersembunyi. Jika anda menerima tawaran sebegini, jangan tergesa-gesa membuat keputusan.
Semak kesahihan syarikat, baca ulasan daripada pengguna lain dan rujuk laman rasmi sebelum membuat sebarang bayaran.
Perlu diingat sekiranya tawaran kedengaran terlalu indah untuk jadi kenyataan besar kemungkinan ia memang satu penipuan.
2. Pengangkutan dan teksi palsu di lapangan terbang
Lapangan terbang sering menjadi lubuk emas bagi menipu pelancong. Ramai pelancong baru tiba dengan bagasi besar akan keletihan selepas penerbangan panjang dan hanya mahu sampai ke hotel dengan cepat.
Situasi ini membuka peluang untuk individu tertentu menyamar sebagai pemandu teksi atau pemandu e-hailing rasmi.
Mereka akan mendekati anda dengan senyuman dan menawarkan tambang yang jauh lebih murah daripada kadar biasa. Namun sebaik sahaja anda naik ke dalam kenderaan itu, semuanya boleh berubah.
Ada yang mengenakan caj melampau apabila tiba di destinasi, ada pula yang membawa penumpang ke tempat yang mencurigakan atau menipu dengan laluan lebih jauh bagi meningkatkan tambang.
Dalam kes yang lebih serius ada juga insiden rompakan dan kecurian. Untuk mengelak situasi ini, pastikan anda hanya menggunakan perkhidmatan pengangkutan rasmi lapangan terbang atau aplikasi e-hailing yang sah dan mempunyai rekod perjalanan.
Jangan mudah terpedaya dengan janji harga murah. Keselamatan anda jauh lebih penting daripada perbezaan harga beberapa ringgit.
Cuba bayangkan anda baharu saja tiba di destinasi pelancongan dan kepenatan selepas penerbangan yang panjang tetapi apabila sampai ke hotel yang ditempa ia sebenarnya tidak wujud.
Ini adalah antara bentuk scam yang semakin berleluasa iaitu laman tempahan penginapan yang palsu.
Penipu akan meniru laman web popular dengan rekabentuk yang hampir sama, lengkap dengan gambar cantik, ulasan palsu dan nombor telefon perkhidmatan pelanggan yang kedengaran meyakinkan.
Ramai pelancong menjadi mangsa apabila membuat bayaran penuh lebih awal untuk menjamin tempahan dan hanya sedar ditipu setelah tiba di lokasi.
Lebih menyedihkan, wang yang hilang biasanya sukar untuk dituntut semula. Untuk mengelakkan situasi ini berlaku, gunakan hanya laman web rasmi atau aplikasi tempahan yang dikenali ramai.
Lihat semula URL laman web dengan teliti, semak alamat hotel di peta, baca ulasan sebenar dan pastikan ada saluran khidmat pelanggan yang sahih.
Jangan sesekali membuat bayaran kepada akaun peribadi individu yang tidak dapat disahkan.
4. Pelancong ditolong
Taktik ini sangat licik kerana ia tidak kelihatan seperti satu penipuan pada awalnya. Pelancong sering menjadi sasaran individu mesra yang baik hati datang kononnya untuk membantu.
Mereka akan menawarkan diri untuk menunjukkan jalan, membantu membawa beg, memberi nasihat mengenai tempat berbahaya atau menawarkan pertukaran mata wang dengan kadar kononnya lebih murah.
Dalam suasana yang asing, ramai yang terpedaya dengan kebaikan palsu ini.
Namun, niat sebenar mereka sering berbeza. Ada yang mengambil kesempatan mencuri dompet atau barangan berharga ketika pelancong leka, ada pula yang menipu kadar pertukaran wang dan ada juga yang bertindak sebagai perantara kepada penipuan yang lebih besar.
Untuk mengelak penipuan seperti ini, anda perlu sentiasa berwaspada apabila orang asing mendekati anda dengan terlalu ramah atau menawarkan bantuan yang tidak diminta. Ucap terima kasih dengan sopan tetapi tegas menolak jika anda rasa tidak selesa.
Ramai pelancong suka menyertai lawatan atau membeli tiket acara secara spontan kerana tidak mahu ketinggalan pengalaman menarik.
Namun inilah sebenarnya peluang besar untuk scammer mengambil kesempatan. Mereka akan muncul di kawasan tumpuan pelancong dan menjual tiket kononnya untuk muzium, tarikan pelancongan atau lawatan berpandu pada harga istimewa.
Tiket tersebut kelihatan meyakinkan. Siap dengan cap, kod QR atau tanda rasmi palsu tetapi sebenarnya ia tidak sah.
Mangsa hanya menyedari penipuan ini apabila ditolak masuk di pintu masuk. Selain kerugian wang, pengalaman ini boleh merosakkan mood percutian sepenuhnya.
Untuk mengelak scam ini, beli tiket hanya melalui kaunter rasmi, laman web yang sahih atau ejen pelancongan yang berlesen.
Jangan tergoda dengan harga murah daripada individu tidak dikenali walaupun mereka kelihatan meyakinkan.
6. Caj tersembunyi dalam perkhidmatan
Selain itu juga, tidak semua penipuan akan datang dalam bentuk yang besar. Ada juga scam yang lebih halus tetapi tetap merugikan.
Contohnya peniaga atau penyedia perkhidmatan pelancongan akan menawarkan harga yang kelihatan murah pada awalnya.
Namun selepas anda bersetuju pelbagai caj tambahan akan dikenakan tanpa penjelasan awal. Ia mungkin berupa cukai tempatan, caj servis tambahan, tips wajib atau kos perkhidmatan lain yang sengaja disembunyikan.
Meskipun nampak kecil, jumlah ini boleh menjadi besar terutama bagi mereka yang melancong dalam kumpulan jika tidak dipersoalkan.
Cara terbaik untuk mengelak ditipu ialah bertanya dengan jelas mengenai semua caj sebelum membuat sebarang pembayaran. Minta resit dan jika boleh buat perbandingan harga dengan penyedia perkhidmatan lain terlebih dahulu.
Dalam era digital, WiFi percuma seolah-olah satu keperluan utama bagi pelancong. Ianya perlu untuk mencari arah, menempah penginapan atau berhubung dengan keluarga.
Namun, inilah juga pintu masuk mudah bagi penjenayah siber untuk mencuri maklumat peribadi. Mereka akan menyediakan rangkaian WiFi palsu dengan nama yang kelihatan rasmi seperti “Free Airport WiFi” atau “Cafe Guest WiFi”.
Apabila pelancong menyambung tanpa berfikir panjang, semua data yang dihantar melalui rangkaian itu boleh dipintas termasuk kata laluan, maklumat kad kredit dan akaun bank.
Untuk melindungi diri, elakkan menggunakan WiFi awam untuk urusan sensitif. Gunakan sambungan peribadi (hotspot) jika ada atau sekurang-kurangnya gunakan VPN untuk melindungi data anda.
Perlu diingat bahawa tidak semua WiFi percuma itu selamat walaupun ia kelihatan sah.
Kesimpulannya, penipuan pelancongan boleh berlaku di mana-mana sahaja sama ada di negara membangun atau destinasi mewah sekalipun.
Ia tidak seharusnya membuatkan anda takut untuk mengembara tetapi menjadi peringatan supaya anda lebih berhati-hati dan peka terhadap keadaan sekeliling.
Setiap penipuan ini mempunyai corak dan tanda-tanda tertentu yang boleh dikesan jika kita peka.
Sebelum melancong, buat sedikit kajian tentang destinasi, baca pengalaman pelancong lain dan semak amaran rasmi daripada sumber sahih.
Jangan mudah percaya dengan tawaran yang terlalu indah dan sentiasa utamakan keselamatan diri serta keluarga melebihi segalanya.
Percutian yang sebenar bukan hanya tentang keindahan tempat yang dilawati tetapi juga ketenangan hati sepanjang perjalanan. Melancong dengan bijak adalah kunci kepada pengalaman yang lebih selamat, seronok dan bermakna.
Sumber : consumer.ftc, trendmicro