Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Kerajaan Pertimbang Larangan Telefon Pintar Bagi Pelajar Bawah 16 Tahun – PM Anwar
PUTRAJAYA — Kerajaan sedang mengkaji cadangan larangan penggunaan telefon pintar dalam kalangan pelajar berumur 16 tahun ke bawah bagi menangani pengaruh negatif media sosial dan permainan dalam talian, lapor Astro AWANI.
Menurut Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, langkah ini diambil kira selepas timbul kegusaran terhadap impak ketagihan serta kecenderungan kepada perilaku jenayah akibat pendedahan berlebihan terhadap kandungan digital.
“Kita juga dapati kesan pengaruh media sosial dan aplikasi permainan dalam talian dan kadang-kadang menjurus kepada banyak tindakan-tindakan yang jenayah.
“Itu kita akan ambil tindakan melarang penggunaan smartphone untuk pelajar-pelajar umur 16 tahun ke bawah,” kata Anwar.
Beliau menegaskan bagi memastikan penggunaan teknologi tidak menjejaskan kesejahteraan dan tumpuan pelajar terhadap pendidikan, kerajaan perlu mengambil pendirian tegas.
Mengulas lebih lanjut, beliau menyatakan pelaksanaan ini sudah diaplikasikan oleh beberapa negara dan kerajaan kini sedang meneliti pendekatan paling sesuai untuk dilaksanakan di Malaysia.
“Penelitiannya masih lagi dibuat, tapi banyak negara telah melaksanakan. (Buat masa ini) masih mengizinkan telefon dalam kalangan anak-anak. Tetapi, saya fikir kita harus tegas dalam hal ini,” katanya lagi.
Dalam perkembangan lagi, Anwar berkata ibu bapa memainkan peranan penting dalam pembentukan nilai dan akhlak anak-anak selain tanggungjawab pihak sekolah dan kerajaan.
Meskipun pendidikan Islam dan moral telah diterapkan di sekolah serta institusi tahfiz, namun Anwar berkata kesedaran terhadap nilai serta penghayatan mendalam mengenai akhlak masih belum benar-benar dihayati dalam diri pelajar.
“Dalam negara MADANI, kita tekankan soal nilai dan soal akhlak serta pendidikan. Betul, harus cemerlang, tapi perlu diteliti.
“Ramai yang terdedah kepada pendidikan Islam, termasuk di maahad tahfiz dan sekolah menengah agama, tapi kadang-kadang kesedaran itu tidak dihadam,” jelasnya.
Sehubungan itu, beliau menyeru supaya Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) memainkan peranan lebih aktif dalam memupuk semula kesedaran dan nilai murni dalam kalangan pelajar.
Beliau menegaskan bahawa pembentukan peribadi dan disiplin pelajar bukanlah tanggungjawab sekolah semata-mata, sebaliknya memerlukan kerjasama rapat antara guru, pihak pentadbir serta ibu bapa.
“Peranan PIBG untuk mengawal dan mengangkat semula kesedaran anak-anak ini. Saya harap pengetua, guru besar, guru-guru dan ibu bapa memberikan kerjasama sepenuhnya,” katanya.
Tambahnya, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek bakal mengulas lebih lanjut isu berkenaan.
Sumber: Astro AWANI