Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Dilabel Kuno, Sekali Orang Mersing “Flex” Ramai Pula Yang Cemburu
Malaysia sememangnya penuh dengan tempat menarik yang ada daya tarikannya tersendiri.
Dari kota moden yang sibuk hingga ke desa yang damai, semuanya punya cerita unik yang menjadi bukan saja tarikan pelancong, tetapi juga kebanggaan rakyatnya. Tapi baru-baru ini, nama “Mersing” tiba-tiba jadi bualan hangat di media sosial.
Siapa sangka, komen ‘kurang manis’ yang ditinggalkan netizen berkenaan daerah indah di negeri Johor itu, mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan warganet.
Susulan itu, ramai tampil mempertahankan Mersing, termasuklah penduduknya sendiri yang tidak berdiam diri melihat daerah mereka dilabel sedemikian.
Antara yang paling menarik perhatian ialah satu perkongsian di Threads @mersing_snorkelicious. Pengguna itu secara jujur meluahkan rasa kecewa terhadap label ‘kuno’ yang diberikan.
Katanya, gelaran itu cukup mengguris hati bagi mereka yang membesar dan menetap di bumi Mersing yang penuh nilai dan keindahan tersendiri.
“Mersing… tempat di mana kami belajar bahawa kesederhanaan dan persahabatan itu sejiwa. Tiada gedung tinggi, tiada gemerlap moden, hanya angin laut yang jujur dan tawa sahabat yang ikhlas.
“Di antara ombak dan senja… kami temui bahagia yang tak perlu dicari jauh, cukup di sini bersama mereka yang tahu menghargai sederhana,” tulisnya ringkas tapi cukup bermakna.
Bersama ciapan itu, dikongsikan juga video yang memaparkan sekumpulan penduduk Mersing bergotong-royong membaiki jeti kayu di tepi laut. Suasananya meriah, penuh tawa.
Difahamkan, aktiviti sebegitu bukanlah sesuatu yang luar biasa di Mersing. Malah, ia sudah jadi umpama tradisi tahunan mereka.
Selepas kerja selesai pula, mereka duduk berkumpul sambil menjamu selera.
Di ruangan komen, ramai yang menyuarakan sokongan buat penduduk Mersing. Berkongsi pengalaman berkunjung ke Mersing, netizen akui jatuh cinta dengan kawasan yang jauh dari kesibukan bandar itu.
“First time datang Mersing terus jatuh cinta, tenang. I wish I could settle down there tapi I bukan orang Johor. Not every place needs to chase the world. Some are just meant to stay peaceful, thats the charm. Mersing is timeless, not kuno.”
“Tapi saya suka yang sekarang. Vibes zaman dulu-dulu. Best apa? Tak sesak, tak moden sangat. Orang pergi bercuti ke Mersing kan memang tak nak gangguan.”
BACA: Peserta Larian Dapat “Goodies” 40Kg, Memang Tergamam Tengok Isinya
Sumber: IG @mersing_snorkelicious