Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah
Tiada Kategori

Anwar, Trump Teguh Perkukuh Hubungan Malaysia-AS

Hannah
hubungan malaysia as
Gambar: Anwar Ibrahim/FB

Anwar, Trump Teguh Perkukuh Hubungan Malaysia-AS

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, memaklumkan bahawa Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) bersetuju untuk memperkukuh hubungan dua hala melalui pelbagai inisiatif strategik yang baharu.

Dalam satu kenyataan di Facebook, Anwar berkata pertemuan dua hala itu berlangsung selepas beliau menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Damai Thailand–Kemboja, di mana beliau dan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, masing-masing mengetuai delegasi negara masing-masing.

“Pertemuan ini memperkukuh hubungan diplomatik yang telah terjalin sejak tahun 1957, sambil membuka ruang baharu bagi memperdalam kerjasama dalam bidang perdagangan, pelaburan, tenaga, pendidikan, pertahanan serta teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI),” katanya.

Menurut Anwar, Malaysia turut menzahirkan penghargaan atas sokongan berterusan AS dalam meningkatkan hubungan dua hala ke tahap Perkongsian Strategik Komprehensif (Comprehensive Strategic Partnership), selain menyokong pelbagai inisiatif serantau termasuk usaha memperkukuh keamanan dan kestabilan di Asia Tenggara.

Dalam pertemuan tersebut, Perdana Menteri turut menegaskan komitmen Malaysia terhadap Pelan Damai Gaza, termasuk memastikan laluan bantuan kemanusiaan tidak dihalang serta mempercepatkan proses pembinaan semula wilayah berkenaan demi keadilan dan maruah rakyat Palestin.

“Malaysia akan terus memimpin dengan prinsip, bekerjasama atas dasar saling hormat, memperkukuh perdagangan bebas dan menjunjung keamanan sejagat, selaras dengan semangat Malaysia MADANI,” katanya lagi.

Sebagai langkah memperkukuh kerjasama ekonomi, kedua-dua negara turut menandatangani dua perjanjian penting, iaitu Framework Agreement on Reciprocal Trade (ART) dan Memorandum of Understanding on Critical Minerals, yang dijangka dapat mengukuhkan keterjaminan rantaian bekalan serta membawa manfaat bersama kepada kedua-dua negara.

Anwar dalam pada itu mendoakan agar hubungan erat antara Malaysia dan Amerika Syarikat terus diperkukuh demi kesejahteraan rakyat kedua-dua negara.

“Saya mendoakan agar hubungan baik antara Malaysia dan Amerika Syarikat terus diperkukuh demi manfaat rakyat kedua-dua negara.

“Sekali lagi saya mengucapkan terima kasih kepada Presiden Trump atas kesudian berkunjung ke Malaysia dan atas komitmen beliau dalam mempererat persahabatan antara kedua-dua negara,” tambah beliau.

BACA: Malaysia Gesa Trump Kekal Teguh Dalam Usaha Mempromosikan Keamanan, Termasuk Di Gaza – PM Anwar

Sumber: Anwar Ibrahim