Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

“Tak Pernah Berpisah Walau Sekali,” Suami Sebak Bacakan Talqin Untuk Isteri Tercinta
Setiap insan yang mendirikan rumah tangga pasti menginginkan mahligai yang dibina berkekalan sehingga ke akhir hayat.
Sejak dari awal lagi, masing-masing mengikat janji bahawa hanya kematian sahajalah yang akan menjadi pemisah kepada hubungan yang dibina.
Begitupun, tiada sesiapa pun sebenarnya bersedia untuk berpisah dengan orang kita kasihi apabila tiba masanya ajal menjemput.
Apatah lagi jika kita tidak berada di sisi orang yang kita cintai itu saat perpisahan berkenaan terjadi.
Walaupun masa dikatakan mampu menyembuhkan luka, hakikatnya kenangan bersama tetap kekal tersemat di hati yang menjadikan kehilangan itu satu kenyataan yang pahit untuk ditelan.
Itulah situasi yang terpaksa dilalui oleh seorang warga emas apabila beliau berasa sebak ketika membaca talqin selepas pengebumian isterinya.
Menerusi video yang dikongsikan oleh @8309shakina di TikTok, suasana di tanah perkuburan hening apabila orang ramai duduk mendengar talqin yang dibacakan oleh lelaki yang dikenali sebagai ‘Pak Ndak’.
Difahamkan, Allahyarhamah merupakan ibu saudara kepada pemilik video berkenaan dan hubungan Allahyarhamah bersama suaminya sangat rapat dan penuh kasih sayang.
Di samping itu, suaminya menjaga arwah dengan penuh kasih, bahkan dikatakan melebihi jiwa dan raganya sendiri.
“Tak pernah berpisah walaupun sekali. Ke mana-mana pun, mereka sentiasa bersama hinggalah ke akhir nafas. Arwah ditakdirkan Allah pergi di sisi suaminya,” ujar @8309shakina.
Pemergian Allahyarhamah nyata meninggalkan kesan mendalam kepada suaminya yang kini perlu belajar menerima hakikat kehilangan teman hidup yang selama ini menjadi pelengkap setiap langkahnya.
Menjengah ke ruangan komen, ramai yang turut sebak menyaksikan detik Pak Ndak membaca talqin buat isterinya sendiri.
Dalam pada itu, warga maya turut mengucapkan salam tazkiah dan mendoakan agar rohnya ditempatkan bersama orang-orang beriman, diampunkan segala dosa dan diberi ganjaran syurga.
“Sama macam arwah mak saya dulu, ayah saya yang bacakan talqin,” komen seorang wargamaya.
“Al-Fatihah… Allahuakbar sebaknya baca talqin untuk isteri tercinta,” komen seorang lagi wargamaya.
Sumber: @8309shakina via TikTok