Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Disangka Pupus, Labah-Labah Serigala Ini Ditemui Semula Selepas 40 Tahun

Aina Munirah
Kredit: National Trust Via BBC

Disangka Pupus, Labah-Labah Serigala Ini Ditemui Semula Selepas 40 Tahun

Seekor labah-labah yang sebelum ini dianggap sebagai spesies hampir pupus dan tidak pernah dilihat di United Kingdom (UK) selama 40 tahun telah ditemui semula, lapor BBC.

Labah-labah yang dikenal pasti sebagai Aulonia Albimana ini dikesan di kawasan simpanan semula jadi milik National Trust di Newtown di kepulauan Wight yang hanya boleh diakses menggunakan bot.

Pasukan yang menemui labah-labah tersebut kemudiannya menamakan ia sebagai white-knuckled wolf spider (labah-labah serigala buku jari putih).

Seorang ahli entomologi, Mark Teller berkata penemuan spesies labah-labah ini sangat bermakna dan tidak akan dilupakannya.

“Menemui spesies yang dianggap hilang selama 40 tahun amat mengujakan dan membuktikan bahawa pengurusan habitat yang betul, digabungkan dengan rasa ingin tahu serta kerjasama, mampu menghasilkan keputusan yang luar biasa,” katanya yang turut menjalankan pencarian bersama rakan penyelidik, Graeme Lyons.

Labah-labah serigala itu yang mempunyai kira-kira 38 spesies di UK mendapat nama kerana keupayaan memburu mereka yang tangkas, dengan mengejar mangsa di atas tanah sebelum menerkam seperti seekor serigala.

Namun menurut National Trust, kaedah memburu Aulonia Albimana masih menjadi misteri kerana spesies ini juga diketahui mampu menghasilkan jaring yang halus.

“Kami hanya mempunyai masa empat jam di lokasi tempat labah-labah ini kali terakhir dilihat 40 tahun lalu sebelum bot kami datang menjemput.

“Saya menemui yang pertama dengan baki sembilan minit sebelum masa tamat dan yang kedua pada minit terakhir.

“Saya telah melihat 559 spesies labah-labah di Kepulauan British dan ini adalah penemuan yang paling mendebarkan,” kata Lyons.

BACA: Konflik Sudan: Ini Apa Yang Anda Perlu Tahu

Sementara itu, pegawai pemuliharaan Persatuan Arachnologi British, Dr Helen Smith berkata penemuan labah-labah tersebut merupakan salah satu penemuan paling epik abad ini di Britain.

Kawasan di mana labah-labah itu ditemui dahulu dipenuhi semak tebal, namun kini telah dipulihkan oleh National Trust dengan bantuan kawanan biri-biri Hebridean.

Haiwan tersebut memakan tumbuhan berlebihan bagi mengekalkan kawasan berumput yang pendek dan terbuka. Ia mewujudkan habitat bertompok dan cerah yang menjadi kegemaran labah-labah terbabit.

Dr Smith memuji kerja pemulihan habitat yang penting itu dan berkata ia menunjukkan bahawa labah-labah tersebut bukan sahaja berjaya bertahan, tetapi berpotensi untuk berkembang biak dengan lebih baik.

“Kami berharap dapat bekerjasama dengan National Trust untuk menentukan saiz sebenar populasinya serta mengenal pasti syarat-syarat yang diperlukan bagi memperluas kawasan taburannya dan menjamin kelangsungannya,” katanya.

BACA: Boleh Dimakan, Ketahui Fakta Menarik Semut Madu

Sumber: BBC