Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

“Saya Ingat….” Reaksi Spontan Pelancong AS Lihat Roti Tisu Buat Netizen Terhibur
Malaysia sememangnya menjadi destinasi pilihan ramai pelancong asing yang gemar menjelajah dan menikmati keindahan budaya yang pelbagai.
Selain itu, negara ini sering digelar sebagai “syurga makanan” kerana kepelbagaian hidangan yang lahir daripada pertembungan budaya Melayu, Cina, India dan etnik-etnik lain.
Dari nasi lemak yang harum santannya, roti canai yang lembut dimakan bersama kuah kari, hingga char kuey teow yang penuh aroma menjadikan setiap hidangan mencerminkan identiti unik negara ini.
Tidak hairanlah, ramai yang jatuh cinta dengan keunikan Malaysia dan memilih untuk kembali berkunjung berkali-kali.
Baru-baru ini, sebuah video menjadi tular di media sosial apabila seorang pelancong dari Texas, Amerika Syarikat (AS) berkongsi reaksinya sewaktu menerima makanan dipesan di sebuah cawangan kedai mamak terkenal.
Menerusi video yang dikongsikan oleh @z_salima di TikTok, wanita itu kelihatan benar-benar terkejut apabila roti tisu yang diterimanya ternyata jauh lebih tinggi daripada yang disangka.
“Saya ingatkan ia snek yang kecil. Dia (pekerja) cakap, ‘Apa kata cuba roti tisu’
“Pekerja itu kena pegang dari atas sampai bawah,” katanya sambil ketawa melihat roti tisu tinggi menjulang di depannya.
Tambah @z_salima, rupa roti itu mengingatkannya kepada ‘topi Wizard’ seperti yang selalu dilihat dalam kartun atau filem.
“Semua orang suruh saya cuba roti tisu, namun tak ada siapa pun bagi amaran betapa besarnya roti tu? Lepas rasa je, baru saya sedar, saya sebenarnya nak lagi banyak daripada itu!” katanya di ruangan kapsyen.
Walaupun terkedu melihat ketinggian roti itu, wanita berkenaan berkata roti tisu tersebut sangat sedap dan menepati cita rasanya.
Sementara itu, @z_salima turut meminta penduduk tempatan di ruangan komen mencadangkan makanan menarik yang boleh dicubanya sepanjang berada di Malaysia.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata pengguna TikTok memberikan pelbagai reaksi dan mengakui terhibur menonton video berkenaan.
Malah ada juga yang berkata sebenarnya banyak lagi roti tisu lebih tinggi daripada yang disaji di kedai mamak itu.
Sumber: @z_salima via TikTok