Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Pernah Viral Mahu Dipenjara Untuk Makan, Pemuda Ditemui Meninggal Dunia

Hannah
mahu dipenjara untuk makan
Sumber: Kompas.com

Pernah Viral Mahu Dipenjara Untuk Makan, Pemuda Ditemui Meninggal Dunia

Di Indonesia, tular kisah menyayat hati seorang pemuda dari Sumatera Selatan, Randika Alzatria Syaputra, yang ditemui meninggal dunia di kawasan Cilacap, Jawa Tengah.

Menurut Kompas.com, pemuda berusia 28 tahun itu sempat meninggalkan sepucuk surat bertajuk “Broken Home” sebelum dijumpai tidak bernyawa.

Surat itu mengandungi rayuan terakhir supaya jasadnya dihantar pulang ke keluarganya di Palembang.

Kisah Randika menjadi perhatian ramai di media sosial selepas orang ramai menyangka dia meninggal dunia kerana kelaparan.

Ditemui tidak bernyawa di teras rumah kosong berhampiran masjid

Menurut laporan polis, Randika ditemui tidak bernyawa di teras sebuah rumah kosong berhampiran Masjid Baitul Zuhdi, Desa Sampang, Cilacap.

Pegawai Perhubungan Awam Polresta Cilacap, Ipda Galih Soecahyo, berkata sehari sebelum kejadian, Randika memang dilihat berehat di masjid tersebut.

“Tapi pada petang hari yang sama, dia dilihat berpindah ke teras rumah kosong di belakang masjid untuk berehat,” katanya.

Keesokan paginya, ahli masjid yang sedang membersihkan kawasan mendapati Randika tidak bergerak.

“Apabila cuba dikejutkan, tubuhnya sudah kaku. Ahli masjid kemudian meminta bantuan orang ramai untuk memaklumkan perkara itu kepada pihak polis,” jelas Galih.

Polis dan pasukan perubatan dari Puskesmas Sampang segera ke lokasi dan membawa jenazah ke Hospital Umum Daerah (RSUD) Cilacap untuk pemeriksaan lanjut.

“Hasil pemeriksaan mendapati tiada kesan kekerasan atau penggunaan dadah. Berdasarkan keadaan fizikal, dia dipercayai meninggal dunia akibat sakit,” jelas Galih.

Surat terakhir bertajuk “Broken Home”

Ketika pemeriksaan dijalankan, polis menemui sebuah buku catatan berhampiran jenazah Randika.

Di dalamnya terdapat surat tulisan tangan dengan tajuk “Broken Home”, yang mengandungi maklumat peribadi dan nama ahli keluarganya.

Dalam surat itu, Randika menulis hasratnya untuk dikebumikan di Palembang. Namun, keluarganya akhirnya membuat keputusan untuk mengebumikannya di Bogor, tempat tinggal ibunya yang kini sudah berkahwin semula.

Pernah dibantu Jabatan Kebajikan Sosial

Siasatan turut mendapati Randika pernah menerima bantuan daripada Dinas Sosial (Dinsos) Kota Lubuklinggau pada tahun 2023.

Menurut Ketua Dinsos Lubuklinggau, Hasan Andria UY, ketika itu Randika dibawa oleh polis selepas mengaku mencuri motosikal. Namun, selepas disiasat, tiada laporan kehilangan atau bukti jenayah ditemui.

“Dia bukan pencuri, cuma orang terlantar yang mengaku bersalah tanpa sebab yang jelas. Kami bantu uruskan dan dia minta dihantar ke Jawa untuk mencari keluarganya,” kata Hasan.

Selepas itu, pihak Dinsos tidak lagi menerima sebarang berita mengenai Randika sehinggalah kisah tragis kematiannya tular di media sosial.

BACA: Anak Buat Laporan Polis Terhadap Ibu Kandung

Sumber: Kompas.com (1) (2)