Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

MARA Perkukuh Kerjasama Pendidikan Global Bersama Shanghai Jiao Tong University
SHANGHAI, 5 November 2025 – Majlis Amanah Rakyat (MARA) hari ini memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Shanghai Jiao Tong University (SJTU), yang kini berada pada kedudukan ke-47 terbaik dunia dan ke-3 di China, bagi memperkukuh kerjasama strategik dalam bidang akademik, penyelidikan TVET berimpak tinggi serta sosio-budaya antara Malaysia dan China.
Majlis menandatangani MoU yang berlangsung di kampus SJTU, Shanghai, telah disaksikan oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri Malaysia dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah.
Melalui perjanjian ini, MARA dan SJTU akan bekerjasama dalam beberapa bidang strategik termasuk:
i. Pertukaran kepakaran teknikal TVET bertaraf tinggi dengan integrasi Al serta pertukaran kepakaran bagi memperkukuh kapasiti institusi;
ii. Pelaksanaan aktiviti penyelidikan dan akademik bersama yang memfokuskan kepada inovasi, sains dan teknologi;
iii. Pertukaran pelajar dan tenaga akademik bagi tujuan pengajian lanjutan, latihan serta penyelidikan;
iv. Penerokaan peluang biasiswa dan kerjasama akademik untuk pelajar Malaysia di SJTU; dan
v. Penajaan bersama projek penyelidikan dan pembangunan yang memberi manfaat kepada kedua-dua negara.
Pengerusi MARA, Datuk Wira Dr. Asyraf Wajdi Dusuki, berkata bahawa kerjasama ini merupakan pencapaian penting dalam usaha MARA meluaskan jaringan pendidikan ke peringkat global dan membuka lebih banyak peluang pembelajaran bertaraf dunia kepada pelajar Bumiputera.
“Shanghai Jiao Tong University merupakan antara universiti terkemuka dunia yang terkenal dengan kecemerlangan akademik, TVET berimpak tinggi dan inovasi penyelidikan.
“Kerjasama ini bukan sahaja membuka laluan kepada pelajar MARA untuk memperoleh pendedahan global bertaraf antarabangsa, tetapi turut memperkukuh peranan MARA sebagai peneraju dalam melahirkan modal insan Bumiputera yang berdaya saing dan bersedia menghadapi cabaran masa depan,” ujar beliau.
Tambah beliau, inisiatif ini juga sejajar dengan visi MARA untuk memperkasakan golongan belia Malaysia melalui pendidikan berkualiti dan jaringan kerjasama antarabangsa, seterusnya menyumbang ke arah pembentukan ekonomi Bumiputera berasaskan pengetahuan dan inovasi.
Ditubuhkan pada tahun 1896, SJTU merupakan antara universiti tertua dan paling berprestij di China, yang diiktiraf atas kecemerlangan dalam bidang kejuruteraan, sains, perniagaan dan teknologi.
Kerjasama ini turut menyokong komitmen Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dalam memperluas akses kepada pendidikan berimpak tinggi, keusahawanan serta kolaborasi global bagi memastikan belia Malaysia, sama ada di luar bandar mahupun di bandar, terus cemerlang di peringkat antarabangsa.