Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Mayat Jutawan Kripto Rusia & Isteri Ditemui Dikerat, Ditanam Di Padang Pasir UAE

Athirah
Jutawan Kripto Rusia & Isteri dikerat
Kredit: Daily Mail

Mayat Jutawan Kripto Rusia & Isteri Ditemui Dikerat, Ditanam Di Padang Pasir UAE

Mayat jutawan kripto Rusia dan isterinya yang diculik awal bulan lalu, dilaporkan ditemui dalam keadaan dikerat kepada beberapa bahagian dan ditanam di padang pasir berhampiran Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE), kelmarin.

Daily Mail melaporkan Roman Novak, 38, dan isterinya, Anna, kali terakhir dilihat ketika memandu menuju ke sebuah tasik berhampiran resort pergunungan Hatta untuk menemui ‘pelabur tidak dikenali’.

Kedua-dua pasangan ini sering mempamerkan gaya hidup mewah dengan kereta sport dan jet peribadi di media sosial, dilaporkan telah “diperas ugut” untuk memberikan mata wang kripto.

Sebelum kehilangan mereka, Novak baru sahaja memperoleh kereta British edisi terhad AC Cobra, yang sangat bernilai dan menjadi koleksi eksklusif.

Difahamkan, pasangan itu dihantar ke Hatta oleh pemandu peribadi mereka dan berhenti di tempat letak kereta berhampiran tasik sebelum menaiki kenderaan lain untuk meneruskan perjalanan.

Ketika itu, Novak sempat menghantar mesej kepada kenalannya, mengatakan dia “terperangkap di kawasan pergunungan berhampiran sempadan Oman” dan terdesak memerlukan £152,000 (kira-kira RM900,000).

Suspek sengaja menghidupkan telefon mangsa

“Selepas itu, hubungan dengan pasangan muda itu terputus,” kata Svetlana Petrenko daripada Jawatankuasa Penyiasatan Russia.

Telefon mereka kemudian dikesan selama dua hari di Hatta, kemudian di Oman dan Cape Town sebelum isyarat hilang pada awal Oktober.

Difahamkan, pembunuh mereka dipercayai sengaja menghidupkan telefon mangsa untuk mengelirukan penyiasat.

Menurut Daily Mail, amaran kehilangan pasangan itu dibuat oleh ahli keluarga mereka di Rusia sebelum mayat mereka yang dikerat ditemui tertanam di gurun UAE.

Tiga suspek warga Russia, termasuk dua bekas tentera yang bertempur dalam perang Ukraine dan seorang bekas pegawai penyiasat pembunuhan kini disyaki terlibat dalam penculikan dan pembunuhan itu.

Ketiga-tiga mereka dikenali sebagai Konstantin Shakht, 53, bekas penyiasat jenayah yang kemudian menjadi penyeludup dadah.

Kedua-duanya ialah Yury Sharypov, 46, dan Vladimir Dalekin, 45, yang merupakan bekas anggota tentera Rusia sebelum diberhentikan daripada perkhidmatan.

Mereka dipercayai menyamar sebagai “pelabur” dan selepas menculik pasangan itu, mereka menuntut kata laluan dompet kripto milik Novak.

“Novak tidak melawan, tetapi dompet itu kosong

“Tiada mata wang kripto ditinggalkan. Apabila gagal mendapatkan tebusan, Roman dan Anna dibunuh serta dikerat,” lapor portal berita Russia Fontanka.

Mangsa pernah menjalani hukuman penjara

Polis UAE menemui kesan darah Anna Novak di villa, darah dalam kereta sewa, simpanan pisau berhampiran tempat kejadian serta sehelai baju-T milik salah seorang suspek yang ditinggalkan dalam keadaan tergesa-gesa.

Ketiga-tiga suspek kini direman sehingga 28 Disember, sementara lima lagi warga Russia berusia bawah 25 tahun turut disyaki mempunyai kaitan dengan kes ngeri ini.

Novak sebelum ini disiasat kerana didakwa menipu pelabur kripto lebih £38 juta (RM225 juta) dengan alasan untuk pembangunan perniagaan.

Antara mangsa termasuk ahli perniagaan dari China dan Asia Barat.

Menurut laporan Komsomolskaya Pravda (KP), Novak gemar menonjolkan dirinya seolah-olah berada pada “tahap yang sama dengan Pavel Durov (pengasas Telegram) dan sheikh Arab” sedangkan dia hanyalah “seorang manipulator licik” yang berjaya memperdaya ramai untuk menyerahkan ratusan juta dolar.

Beliau juga dikatakan pernah menjalani hukuman penjara atas kesalahan penyelewengan sebelum ini dan menjalankan rangkaian kripto pantas melalui aplikasi dibangunkan oleh pengatur cara dari Ukraine.

“Baru-baru ini, pihak berkuasa Russia menjalankan siasatan ke atas bursa kripto di Moscow City bagi mengesan jejak pelaburan Novak,” lapor KP.

Daily Mail melaporkan anak-anak kepada pasangan itu dijaga oleh ibu bapa Anna.

BACA: Impian Kejuruteraan Terkubur Selepas Kemalangan, Kini Wanita Ini Temui Dunia Kek “Custom”
BACA: “Boleh Tak…” Reaksi Wanita Non-Muslim Dengar Alunan Ayat Al-Quran Raih Perhatian Ramai

Sumber: Daily Mail