Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah
Tiada Kategori

Tidak Rayu Pemberian 40 Peratus Hasil Tunjukkan Anwar Faham Aspirasi Rakyat Sabah – Hajiji

Sofea
tidak rayu pemberian
Kredit: Bernama

Tidak Rayu Pemberian 40 Peratus Hasil Tunjukkan Anwar Faham Aspirasi Rakyat Sabah – Hajiji

KOTA KINABALU, 11 Nov (Bernama) — Keputusan Kerajaan Persekutuan untuk tidak merayu keputusan Mahkamah Tinggi berkenaan dengan pemberian khas 40 peratus Sabah menunjukkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memahami harapan dan aspirasi rakyat Sabah.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata keputusan itu juga mencerminkan komitmen tulen Anwar untuk menegakkan hak Sabah yang dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Justeru, beliau berkata Kerajaan Sabah menyampaikan penghargaan kepada Anwar dan Jemaah Menteri atas keputusan itu yang mengesahkan semula hak perlembagaan Sabah terhadap pemberian khas 40 peratus.

“Dalam pertemuan dan perbincangan saya dengan Perdana Menteri, saya telah menyatakan pendirian tegas kerajaan negeri bahawa hak perlembagaan Sabah mesti dihormati, diiktiraf dan dilaksanakan.

“Keputusan untuk tidak membuat rayuan ini mencerminkan hubungan kerja yang kukuh antara kerajaan negeri pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Putrajaya,” katanya dalam kenyataan malam ini.

BACA JUGA: Isu 40 Peratus Hasil: Tiada Rayuan, Rundingan Dimulakan Segera

Pada 17 Okt lepas, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu memutuskan bahawa Kerajaan Persekutuan bertindak secara tidak sah dan melampaui kuasa perlembagaan apabila gagal menunaikan hak Sabah terhadap 40 peratus hasil Persekutuan bagi 1974 hingga hingga 2021.

Hajiji yang juga Pengerusi GRS berkata kerajaan negeri bersedia untuk terus berunding secara konstruktif dengan Kerajaan Persekutuan bagi melaksanakan arahan mahkamah untuk menyemak dan memuktamadkan perjanjian tersebut, sambil menyeru rakyat terus menyokong kepimpinan Anwar.

Beliau berkata menghormati keputusan mahkamah merupakan langkah penting ke arah merapatkan jurang pembangunan antara Sabah dan Semenanjung meliputi aspek infrastruktur, pertanian dan kemudahan asas yang masih ketinggalan.

“Rakyat Sabah telah menunggu terlalu lama. Apa yang diperlukan kini ialah tindakan tegas dan kemahuan politik yang tulen untuk menunaikan serta melaksanakan hak 40 peratus itu,” katanya.

Sumber: Bernama