Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Detik Tragis Pesawat Turkiye Terhempas Di Georgia
Sebuah pesawat kargo tentera Turkiye jenis C-130 Hercules dilaporkan terhempas di wilayah timur Georgia pada Selasa, mengorbankan kesemua 20 individu yang berada di dalam pesawat berkenaan.
Menurut Anadolu Ajansi (AA) seperti dilapor BERNAMA, pesawat tersebut sedang dalam perjalanan pulang ke Turkiye selepas berlepas dari Lapangan Terbang Ganja, yang terletak di barat Azerbaijan.
Kementerian Pertahanan Turkiye mengesahkan bahawa nahas berlaku sejurus selepas pesawat melintasi sempadan dan memasuki ruang udara timur Georgia.
Dalam satu video yang kini tular di media sosial, pesawat berkenaan dilihat menjunam dengan laju ke tanah sebelum meletup, disusuli kepulan asap hitam tebal yang memenuhi ruang udara lokasi kejadian.
“Mereka yang gugur dalam insiden pada 11 November 2025 merupakan wira negara. Pesawat kargo tentera jenis C-130 yang berlepas dari Azerbaijan untuk pulang ke Turkiye telah terhempas dan mengorbankan kesemua anggota kami,” kata Menteri Pertahanan Turkiye, Yasar Guler, dalam satu kenyataan di akaun X beliau, yang turut disertakan 20 keping gambar mangsa nahas.
Menurut AFP, Turkiye setakat ini belum menjelaskan punca sebenar kejadian. Namun, rakaman video yang dirakam oleh saksi kejadian dan disiarkan oleh media Azerbaijan menunjukkan pesawat itu berpusing secara mendatar di udara.
Beberapa serpihan turut dilihat berterbangan sebelum pesawat tersebut jatuh terhempas.
Kementerian Dalam Negeri Georgia pula mengesahkan bahawa pesawat tersebut terhempas di kawasan Sighnaghi, kira-kira lima kilometer dari sempadan Georgia–Azerbaijan.
Pihak kawalan trafik udara Georgia memaklumkan bahawa pesawat itu hilang daripada radar sejurus memasuki ruang udara negara tersebut tanpa menghantar isyarat kecemasan. Tambahnya, lokasi nahas hanya dikenal pasti selepas menerima maklumat daripada pasukan kecemasan, lapor AFP.
Difahamkan, pesawat kargo tentera C-130 Hercules itu merupakan model buatan syarikat Lockheed Martin yang berpangkalan di Amerika Syarikat.
BACA: Jambatan Di China Dilapor Runtuh Selepas Beberapa Bulan Dibuka
Sumber: BERNAMA TV, AFP