Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lelaki Ini Tunjuk Macam Mana Halusinasi Terjadi, Buka Mata Ramai Tentang Skizofrenia
Setiap manusia di dunia ini tidak akan terlepas dari ujian. Kadang kala ujian itu juga datang dalam bentuk yang tidak disangka termasuk melibatkan masalah kesihatan diri.
Jika Allah SWT berkehendak, Dia akan menguji hambanya dengan pelbagai penyakit yang perit untuk ditanggung. Bukan sekadar penyakit fizikal, tetapi juga melibatkan penyakit mental.
Ada sesetengah orang yang mungkin tidak faham mengenai derita yang dihadapi oleh pesakit mental. Bahkan, kadang kala terlalu menghukum tanpa memikirkan derita yang dihadapi oleh mereka.
Salah satu penyakit mental yang perlu difahami orang ramai ialah skizofrenia.
Menurut laman web Hospital Bahagia Ulu Kinta, skizofrenia merupakan penyakit mental yang serius. Ia menjejaskan cara seseorang berfikir, merasa dan berperilaku.
“Orang dengan skizofrenia mungkin kelihatan seperti mereka telah kehilangan hubungan dengan realiti, yang boleh mengganggu mereka dan keluarga dan rakan-rakan mereka,” kata hospital itu.
Pesakit skizofrenia juga sukar untuk mengambil bahagian dalam aktiviti harian mereka. Namun, rawatan yang berterusan boleh membantu mereka untuk menjalani kehidupan dengan lebih baik.
Dalam pada itu, seorang pengguna TikTok, @fitri_azeez, berkongsi video simulasi pesakit skizofrenia yang berhalusinasi.
Didiagnos menghidap skizofrenia sejak tahun 2021, Fitri menunjukkan pengalamannya yang pernah berhalusinasi di dalam masjid.
Menurutnya, dia ketika itu sedang mendengar khutbah Jumaat dan tiba-tiba melihat beberapa orang yang sedang melakukan solat sunat membelakangi kiblat.
“Ada yang memandang saya, ada juga yang hanya tunduk memandang ke arah karpet sejadah dan ada memandang saya dengan senyuman yang menyeramkan.
“Beberapa puluh orang yang sedang mendengar khutbah tiba-tiba memandang tepat ke arah mata saya dengan renungan yang kosong. Ketika pertama kali perkara ini berlaku, saya lari keluar dari masjid dan berkurung di dalam tandas masjid sehingga saya dengar iqamat, baru saya keluar dan tunaikan solat Jumaat.
“Seperti biasa, tiada pelakon tambahan. Jemaah yang pusing menghadap saya itu bukanlah rupa seperti saya, ia berupa wajah-wajah rawak yang saya nampak sepanjang saya berjalan di dalam masjid untuk mendapatkan tempat duduk.
“Jadi, situasi dalam video ni tak berapa nak relate sangat. Situasi yang sebenar, jemaahnya ramai,” katanya menerusi kapsyen.
Ujarnya lagi, dia sudah tidak merasa takut selepas perkara itu berlaku beberapa kali dan menganggap itu adalah ujian dari Allah SWT.
“Saya menganggap ini hanya ujian Allah SWT. Allah nak uji saya sama ada saya bertakwa padaNya atau saya lebih takut pada gangguan halusinasi. Saya percaya masjid adalah tempat yang selamat dan mempunyai aura positif. Halusinasi itu hanya satu gangguan.
“Namun, inilah sebabnya kenapa ramai penghidap skizofrenia takut nak keluar atau pergi ke tempat orang ramai,” katanya.
Fitri menambah bahawa dia juga pernah berhalusinasi di dalam panggung wayang, melihat penonton lain memandang ke arahnya.
“Pernah suatu hari saya pergi wayang menonton filem Imaginur sampai Beto Khusyairi dan Diana Danielle yang berada di dalam skrin wayang memandang tepat ke arah saya untuk beberapa minit.
“Cerita Imaginur itu memang boleh trigger saya kerana ada beberapa babak yang kena dengan pengalaman halusinasi saya,” jelasnya lagi.
Ketika ditanya SK, Fitri berkata dia masih lagi menerima rawatan dan memakan ubat yang diberikan oleh doktor.
Menjengah ke ruangan komen, ramai yang berterima kasih kepada Fitri kerana berkongsi pengalaman berhalusinasi, yang sebelum ini tidak difahami mereka.
Sehingga kini, video tersebut telah mendapat sebanyak tiga juta tontonan di TikTok.
Sumber: fitri_azeez