Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Pameran Galeri Program Anak Kita (PAK) di Parlimen Malaysia diadakan sebagai kemuncak fasa pertama pelaksanaan program, memperlihatkan bagaimana dasar pendidikan berasaskan data, empati dan kerjasama mampu diterjemahkan kepada hasil nyata di peringkat akar umbi.
Pameran ini bertujuan untuk memaklumkan berkenaan prestasi PAK kepada para pengunjung Parlimen, terutama sekali barisan kepimpinan negara dan Ahli-ahli Parlimen.

Pameran yang dijdualkan berlangsung dari 11 hingga 12 November 2025, jam 10 pagi hingga 4 petang ini akan memaparkan laporan pelaksanaan dan prestasi PAK, kisah-kisah kejayaan murid yang menyertai program dari seluruh negara, serta sesi maklum balas bersama para pengunjung pameran.
Menerusi pelaksanaan pameran ini, ia membuktikan bahawa pendekatan “Seluruh Negara” (Whole-of-Nation Approach) bukan sekadar konsep, tetapi satu pelaksanaan menyeluruh yang telah membawa perubahan ketara kepada puluhan ribu murid dan sekolah.
Lebih daripada sekadar pameran hasil kerja, pameran ini juga berfungsi sebagai platform dasar bagi membina momentum ke arah Program Anak Kita bagi tahun 2026: fasa kesinambungan yang akan menumpukan kepada inovasi dalam pengajaran dan pembelajaran, pengukuhan sokongan komuniti sekolah, dan pemantapan keberkesanan intervensi berasaskan data.

Ia juga menjadi ruang dialog antara pembuat dasar dan pelaksana di lapangan, bagi memastikan kejayaan program terus berkembang dalam kerangka Ekonomi MADANI yang menekankan elemen keterangkuman dan keadilan sosial.
Turut hadir ke sesi pameran adalah YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim, Perdana Menteri, YB Datuk Seri Dr. Haji Dzulkefly bin Ahmad, Menteri Kesihatan serta beberapa Ahli Parlimen yang telah diberikan taklimat mengenai pelaksanaan dan pencapaian PAK di samping meluangkan masa menyantuni murid-murid pemulihan Sekolah Kebangsaan Ampang Campuran, yang juga peserta program PAK 3M.
Antara sorotan utama acara ialah Laporan Kemajuan dan Papan Pemuka Data (Progress Dashboard) dimana terdapatnya paparan visual data yang menunjukkan capaian, impak dan hasil pelaksanaan program mengikut negeri, daerah dan kumpulan sasar.

Perkongsian kisah pengalaman sebenar daripada guru dan murid PAK 3M yang telah menunjukkan kemajuan ketara dalam kemahiran asas membaca, menulis dan mengira (3M). Segmen ini memberi tumpuan kepada pencapaian pembelajaran murid sekolah rendah serta impak pendekatan bimbingan berstruktur yang dilaksanakan di bawah program.
Peranan strategik daripada kolaborasi rentas sektor antara Kementerian Pendidikan (KPM), Kementerian Kewangan (MOF), Unit Pantau MADANI, Yayasan Hasanah, universiti awam dan rakan masyarakat sivil komited untuk memastikan pendekatan “Seluruh Negara” dilaksanakan dengan berkesan.
Tumpuan dan hala tuju Program Anak Kita 2.0 ialah lebih kearah kelestarian, inovasi dan kesinambungan sokongan pembelajaran, termasuk perluasan inisiatif PAK 3M, PAK SPM dan Program Murid Cicir.
Program Anak Kita ialah bukti nyata keberkesanan dasar berasaskan data dan empati. Ia mencerminkan bagaimana kolaborasi pelbagai pihak dapat memacu perubahan berkekalan dalam pendidikan, sambil membina asas kukuh untuk pelaksanaan fasa kedua: Program Anak Kita 2.0.

Apa itu Program Anak Kita?
Dilancarkan pada 27 September 2024, Program Anak Kita (PAK) ialah inisiatif Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Kewangan (MOF) yang diterajui oleh Unit Pantau MADANI bersama Yayasan Hasanah. Program ini merupakan sebahagian daripada agenda reformasi pendidikan negara dengan menekankan pendekatan “Seluruh Negara” (Whole-of-Nation), melibatkan kerjasama rapat antara agensi kerajaan, pertubuhan masyarakat sivil (CSO), dan pihak swasta.
PAK menyasarkan lebih 83,000 murid di lebih 2,500 sekolah seluruh negara, melalui pelbagai intervensi bagi menangani isu keciciran pembelajaran. Selaras dengan aspirasi “Pendidikan Manusiawi”, program ini bukan sahaja memberi tumpuan kepada pencapaian akademik, tetapi juga kepada kesejahteraan dan perkembangan holistik murid.
Bagi tahun 2024 dan 2025, Program Anak Kita (PAK) sedang dilaksanakan dengan kerjasama tiga universiti awam dan tujuh CSO, di samping sokongan pihak sekolah serta pegawai pendidikan di lapangan. Tumpuan diberikan kepada pelaksanaan tiga intervensi utama iaitu PAK 3M, PAK SPM, dan Murid Cicir untuk memastikan keberkesanan program dan impak yang berkekalan.

Program Anak Kita menyasarkan tiga cabaran utama iaitu:
1. Program PAK 3M
Menangani jurang dalam kemahiran asas membaca, menulis dan mengira (3M) dalam kalangan 53,252 murid Tahun 2 hingga Tahun 6 di 1,288 sekolah rendah di tujuh buah negeri berkeperluan tinggi.
Pencapaian semasa setakat Mei 2025, 15,543 murid (29%) berjaya keluar daripada kelas pemulihan dan kembali ke aliran arus perdana hasil intervensi PAK 3M.
2. Program PAK SPM
Melibatkan 10,119 murid dari 343 sekolah bagi kohort SPM 2024, serta 20,000 murid dari 923 sekolah untuk kohort SPM 2025 di seluruh negara. Program ini bertujuan membantu murid lulus mata pelajaran teras seperti Bahasa Malaysia, Sejarah dan Matematik, agar mereka layak memperoleh sijil SPM.
Pencapaian semasa bagi tahun 2024, 89% calon SPM (8,855 daripada 9,906 murid) di bawah PAK berjaya memperoleh sijil SPM.
3. Program Cicir Sistem
Memberi bantuan langsung kepada murid yang berpotensi cicir untuk kembali ke sistem persekolahan. Sokongan diberikan mengikut keperluan individu dan merangkumi bantuan pengangkutan, keperluan asas, sesi kaunseling serta galakan berterusan agar murid kekal bersekolah. Ia menyasarkan 500 murid tercicir di lima negeri berkeperluan tinggi.
Pencapaian semasa sehingga pertengahan tahun 2025, lebih 400 murid telah menerima bantuan di bawah Program Anak Kita melalui intervensi bersasar yang diselaras KPM dan MOF.
Antara objektif Program Anak Kita ialah untuk meningkatkan tahap penguasaan kemahiran membaca, menulis dan mengira (3M) di kalangan murid sekolah rendah, meningkatkan kadar kehadiran dan keputusan peperiksaan SPM serta mengembalikan murid ke sistem pendidikan formal dan memastikan murid yang kembali kekal bersekolah