Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Bahaya, Elak Kongsi 10 Perkara Ini Di Akaun Media Sosial Anda

Hannah
elak kongsi media sosial
Gambar: AI/ImageFX

Bahaya, Elak Kongsi 10 Perkara Ini Di Akaun Media Sosial Anda

Setiap hari, berjuta-juta orang di seluruh dunia log masuk ke media sosial. Ada yang untuk berhubung dengan rakan, berkongsi gambar, mencari berita, membeli-belah atau sekadar mengisi masa lapang.

Media sosial sememangnya menjadi sebahagian daripada kehidupan zaman ini. Namun, di sebalik kemudahannya, ramai yang tanpa sedar terlalu terbuka berkongsi hal peribadi hingga mengundang risiko keselamatan dan privasi.

Perkongsian berlebihan atau “oversharing” sebenarnya boleh membawa padah besar. Semuanya boleh berpunca daripada satu hantaran yang kelihatan ‘tidak berbahaya’.

Jadi, berikut kami kongsikan 10 perkara yang ‘wajib’ dielak daripada dikongsi di akaun media sosial dan sebabnya.

1. Maklumat peribadi

Nama penuh, nombor kad pengenalan, tarikh lahir atau alamat rumah. Semua ini nampak biasa, tapi sebenarnya amat berharga kepada penipu siber.

Mereka boleh gunakan maklumat kecil ini untuk mencipta identiti palsu, memohon pinjaman atas nama anda atau meneka kata laluan akaun.

Jadi, elakkan kongsi apa-apa maklumat peribadi yang boleh dijadikan “puzzle” untuk menipu anda.

2. Rancangan percutian atau perjalanan

Seronok rasanya nak kongsi bila bakal bercuti, tapi tahu tak ia boleh jadi ‘jemputan terbuka’ kepada pencuri.

Mengumumkan tarikh anda akan tiada di rumah boleh menyebabkan rumah anda menjadi sasaran. Lebih baik kongsi gambar percutian selepas anda pulang, bukan sebelum atau semasa.

3. Data lokasi (location sharing)

Setiap kali anda ‘tag’ lokasi, sama ada di kafe, gimnasium atau rumah rakan, anda sebenarnya mendedahkan keberadaan anda kepada umum.

Penjenayah boleh menjejak bila anda tiada di rumah atau bersendirian. Pastikan tetapan lokasi di aplikasi media sosial dimatikan dan elakkan kongsi lokasi secara langsung.

4. Barangan mewah atau pembelian baharu

Gambar cincin berlian, telefon baharu atau kereta idaman juga boleh mengundang risiko. Selain menimbulkan rasa iri hati, ada pihak yang mungkin memerhati untuk tujuan jenayah.

5. Gambar anak-anak

Ramai ibu bapa suka memuat naik gambar anak-anak mereka, tapi gambar kanak-kanak sebenarnya boleh disalah guna oleh individu tidak bertanggungjawab.

Jika mahu kongsi, pastikan privasi dijaga dan jangan sesekali muat naik gambar anak orang lain tanpa izin ibu bapanya.

6. Luahan tentang tempat kerja

Rasa marah atau stres di tempat kerja memang normal, tapi jangan sesekali lepaskan di media sosial.

Hantaran negatif tentang majikan, rakan sekerja atau suasana kerja boleh menyebabkan tindakan disiplin, malah kehilangan kerja.

7. Maklumat kewangan

Jangan sekali-kali kongsi gambar kad bank, slip gaji atau apa-apa dokumen berkaitan akaun kewangan. Walaupun gambar nampak kabur, penipu siber sentiasa ada cara untuk mendapatkan maklumat itu.

8. Maklumat peribadi keluarga dan rakan

Mungkin anda tak kisah maklumat anda diketahui, tapi tidak semua orang selesa. Elakkan kongsi nombor telefon, alamat atau tarikh lahir ahli keluarga dan rakan tanpa izin mereka.

9. “Giveaway” atau peraduan mencurigakan

Media sosial memang dipenuhi dengan tawaran menarik, tapi banyak daripadanya adalah ‘perangkap’.

Sesetengah peraduan palsu ini digunakan untuk mencuri data peribadi atau menyebar perisian berbahaya (malware).

Sebelum isi apa-apa borang atau tekan pautan, semak dahulu sumbernya. Jika nampak terlalu bagus untuk jadi kenyataan, besar kemungkinan ia penipuan.

10. Perbualan atau maklumat peribadi orang lain

Media sosial bukan tempat untuk mendedahkan rahsia, apatah lagi isu peribadi orang lain. Sekali ia dikongsi, sukar untuk dipadam.

Maklumat seperti pergaduhan, masalah rumah tangga atau gosip boleh mencetuskan salah faham dan menyakiti banyak pihak. Jika bukan urusan anda, jangan kongsi.

Hati-hati sebelum tekan “post”

Media sosial boleh jadi ruang yang menyeronokkan dan bermanfaat, asalkan digunakan dengan bijak. Apa saja yang kita kongsikan hari ini mungkin kekal di internet selama-lamanya. Jadi, fikir dua kali sebelum memuat naik sesuatu.

Kadang-kadang, tidak berkongsi apa-apa adalah langkah paling bijak yang boleh anda ambil.

BACA: Jangan Sesekali Tanya Atau Beritahu ChatGPT 5 Perkara Ini

Sumber: WeLiveSecurity