Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Kedah Tidak Akan Berganjak Dalam Isu Pajakan Pulau Pinang
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menegaskan bahawa kerajaan negeri Kedah tidak akan berganjak dalam pendirian berhubung isu pajakan Pulau Pinang yang kini menjadi perhatian umum.
Menurut beliau, tindakan Kedah untuk membawa perkara itu ke mahkamah bukanlah untuk mencabar Perlembagaan seperti yang didakwa sesetengah pihak.
“Isu Pulau Pinang ini, mereka kata saya cabar Perlembagaan. Saya bukan cabar Perlembagaan. Mula-mula saya cakap, mereka suruh bawa ke mahkamah.
“Sekarang saya maklumkan dalam ucapan saya, proses untuk bawa ke mahkamah, mereka marah juga. Apa sebenarnya yang mereka mahu?” katanya.
Muhammad Sanusi turut menegaskan beliau tidak akan berundur dalam memperjuangkan hak negeri Kedah berkaitan isu berkenaan.
“Saya yakin pada satu ketika. Ketika kerajaan, kepimpinan kita lemah diserang, dicengkam, dilanyak, dibunuh oleh kuasa-kuasa besar. Di hati kecil dia, walaupun dia sedang bernaung, berlindung dalam satu kapal kecil di Sungai Merbok tapi masih memegang kuasa pemerintahan negeri ini. Di hati kecil dia, dia tentulah mengharapkan pada satu hari nanti, anak cucu aku akan bangkit untuk tuntut kembali apa yang telah aku hilang.
“Kamilah anak cucu itu. Kami tidak gentar, kami tidak takut. Perjuangan ini akan diteruskan sampai kebenaran muncul sama ada kami menang atau kami mati.
Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan dalam Mesyuarat Ketiga Penggal Persidangan Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah Darul Aman ke-15, hari ini.
Terdahulu, pada 10 November lalu, Muhammad Sanusi dilaporkan berkata bahawa Kedah kini berada dalam fasa akhir memuktamadkan pelantikan pasukan guaman bagi memulakan tindakan perundangan berhubung isu kedudukan serta hubungan negeri itu dengan Pulau Pinang.
Langkah itu, jelas beliau, diambil susulan keprihatinan Sultan Kedah yang menzahirkan keperluan supaya isu berkenaan diperjelas secara telus termasuk perkara berkaitan pajakan.
Sementara itu, Kerajaan Negeri Pulau Pinang semalam memaklumkan bahawa mereka hanya akan membuat keputusan sama ada menubuhkan pasukan guaman atau sebaliknya selepas menerima notis tuntutan rasmi daripada Kerajaan Negeri Kedah.
Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan terbaru Menteri Besar Kedah berhubung tindakan undang-undang tersebut.
BACA: Pulau Pinang Tunggu Notis Tuntutan Dari Kedah Sebelum Putus Tubuh Pasukan Guaman
Sumber: Muhammad Sanusi Md Nor/FB