Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

11 Negeri, 1 Wilayah Dijangka Hujan Lebat Petang Ini
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang yang melibatkan 11 negeri dan satu Wilayah Persekutuan (WP) sehingga 6 petang ini.
Amaran yang dimuat naik di lama Facebook berkenaan melaporkan hampir keseluruhan kawasan bagi negeri Perlis dan WP Putrajaya dijangka alami hujan lebat.
“Di Kedah, daerah Langkawi, Kubang Pasu dan Kota Setar turut dijangka hujan lebat.
“Manakala di Perak, daerah Larut, Matang Dan Selama, Kuala Kangsar dan Manjung diramal hujan lebat. Begitu juga daerah Kinta, Perak Tengah dan Kampar,” maklum jabatan berkenaan.
Beralih ke Pantai Timur, daerah Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu dan Bachok di Kelantan turut tersenarai bakal menerima hujan lebat petang ini.
Sementara itu di Pahang, hanya daerah Pekan diramal alami cuaca buruk.
Terus ke Selangor, MetMalaysia menyenaraikan daerah Kuala Langat, Hulu Langat dan Sepang bakal menerima hujan lebat.
Keadaan cuaca di Negeri Sembilan menunjukkan hujan lebat dan ribut petir bakal landa daerah Seremban, Port Dickson dan Rembau.
Begitu juga dengan daerah Alor Gajah di Melaka.
Dalam pada itu, hujan lebat dijangka landa Johor di beberapa daerah, antaranya Batu Pahat, Pontian, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru.
Di Kepulauan Borneo, MetMalaysia menjangkakan angin kencang dan hujan lebat melanda kebanyakan kawasan di Sarawak. Antara daerah yang disenaraikan termasuk Kuching (Kuching), Serian, Samarahan (Simunjan), Sri Aman dan Betong (Betong).
Daerah Sarikei (Pakan, Julau dan Meradong), Sibu, Mukah (Tanjung Manis dan Daro), Kapit (Song), Bintulu (Tatau) dan Limbang juga turut tersenarai.
Sementara itu di Sabah, daerah Pedalaman (Sipitang, Tenom, Beaufort, Nabawan dan Tambunan) dan Pantai Barat (Papar, Tuaran dan Kota Belud) diramal alami hujan lebat petang ini.

“Amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm/jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
“Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran,” jelas MetMalaysia lanjut.
Sehubungan dengan itu, orang ramai dinasihat agar tidak mengunjungi lokasi berisiko dan kekal peka dengan perubahan cuaca.