Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Saintis Turunkan Kamera Dalam Lubang Ais Antartika, Ini Yang Dirakam Di Dasarnya
Antartika digelar sebagai kawasan di ‘hujung dunia’ dan hampir 100 peratus permukaannya diliputi ais tebal. Tiada manusia yang tinggal secara tetap di sana, kecuali saintis atau penyelidik yang menetap sementara untuk menjalankan kajian selama beberapa hari atau bulan.
Pelbagai penemuan penting telah dilakukan di Antartika, khususnya berkaitan ais, perubahan iklim, ekosistem unik serta sejarah bumi yang terperangkap dalam lapisan ais ribuan tahun.
Ia sekaligus membangkitkan pelbagai lagi persoalan mengenai ekosistem di sana.
Jika anda pernah menonton dokumentari tentang Antartika, pasti anda tahu bahawa saintis sering mengorek ais untuk mendapatkan ice core iaitu sampel ais yang merekodkan sejarah iklim bumi, kewujudan hidupan mikro dan tahap pencemaran global.
Namun, pernah atau tidak anda melihat apa sebenarnya yang ada di dasar ais yang telah dikorek itu?
Pada 2022, pasukan saintis telah ke sana bagi menjalankan misi menggali untuk mendapatkan ais purba yang dipercayai antara yang tertua di Bumi.
Bagi memberikan gambaran ringkas mengenai kerja penting itu, salah seorang saintis projek tersebut yang merupakan pelajar siswazah di Scripps Institution of Oceanography, Austin Carter, telah berkongsi sebuah videotime lapse yang menakjubkan.
Video tersebut memaparkan sebuah kamera yang ditolak ke dalam lubang gerudi sedalam 93 meter (305 kaki) di kawasan Allan Hills, Antartika Timur.
Semakin dalam kamera itu diturunkan, semakin dapat dilihat perubahan warna dan tekstur ais, seolah-olah masuk ke dalam dimensi lain.
Menurut IFLScience, ais di lokasi itu dipercayai terbentuk dan tertimbus sejak dua hingga tiga juta tahun lalu, sekali gus memberikan gambaran luar biasa tentang keadaan persekitaran purba Bumi.
Projek Center for Oldest Ice Exploration (COLDEX) itu diketuai oleh Oregon State University. Misi mereka ketika itu adalah untuk mengumpul ais tertua di kawasan tersebut untuk mendapatkan data tentang rekod iklim lampau yang tersimpan di dalamnya.
Selain mengambil sampel ice core, pasukan penyelidik itu turut berharap dapat memahami struktur di bawah permukaan dengan lebih baik melalui penggunaan radar penembus ais dan tinjauan udara menggunakan pesawat.
Sumber: IFLScience