Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Ringgit Makin Kuat, Media Indonesia Dakwa Ini 3 ‘Senjata Rahsia’ Malaysia
Prestasi ekonomi Malaysia menunjukkan peningkatan ketara sejak beberapa bulan kebelakangan ini, seiring dengan pengukuhan ringgit berbanding dolar AS dan mata wang serantau
Berikutan itu juga, media Indonesia baru-baru ini telah melaporkan tiga sebab yang menjadikan ringgit terus mengukuh di persada dunia.
CNBC Indonesia melaporkan bahawa ringgit dijangka menjadi salah satu mata wang paling kukuh di Asia sepanjang tahun 2025.
“Pengukuhan ringgit bukan sahaja dicerminkan melalui peningkatannya berbanding dolar AS tetapi juga dalam penguasaannya ke atas mata wang serantau.
“Berbanding dengan banyak mata wang Asia lain yang mengalami tekanan sepanjang tahun, ringgit muncul sebagai antara yang berprestasi terbaik dengan pengukuhan yang jauh lebih kuat,” lapor CNBC Indonesia.
Menurutnya lagi, keadaan ini berlaku kerana tiga ‘senjata’ utama iaitu:
CNBC Indonesia mendakwa faktor utama kekuatan Malaysia terletak pada imbangan perdagangannya yang terus mencatatkan lebihan dalam jumlah yang besar.
“Konsistensi lebihan perdagangan jelas dilihat melalui perbezaan antara eksport dan import yang sering mencecah antara RM50 bilion hingga RM120 bilion setiap bulan.
“Lebihan perdagangan yang besar dan berterusan ini memberikan Malaysia bekalan dolar yang stabil, mengurangkan kebergantungan kepada campur tangan bank pusat, dan seterusnya membantu mengekalkan kedudukan ringgit dalam keadaan kukuh walaupun ekonomi global dilanda ketidaktentuan,” katanya.
Berdasarkan laporan itu, CNBC Indonesia juga berkata aliran pelaburan langsung asing (FDI) menjadi salah satu pemacu utama pengukuhan ekonomi Malaysia dalam dua tahun kebelakangan ini.
Dakwanya, kekukuhan pelaksanaan pelaburan tersebut dapat dilihat melalui peningkatan aktiviti sektor sebenar, terutamanya pembinaan dan pembuatan.
“Momentum FDI Malaysia turut diperkukuhkan oleh kemasukan syarikat teknologi global
“Antara pelaburan paling signifikan ialah oleh NVIDIA, yang bekerjasama dengan YTL Power dalam projek bernilai RM10 bilion untuk membangunkan pusat data kecerdasan buatan (AI) berasaskan GPU berprestasi tinggi.
“Pelaburan ini susulan komitmen terdahulu bernilai US$4.3 bilion pada tahun 2023 untuk pembangunan infrastruktur superkomputer dan perkhidmatan awan AI,” katanya.
Aliran modal yang besar ini memberi kesan langsung kepada ekonomi negara, khususnya dalam pengembangan sektor pembuatan berteknologi tinggi, pertumbuhan industri semikonduktor dan peningkatan aktiviti pembinaan di kawasan industri baharu.
Tarikan terbesar Malaysia untuk pelabur global terletak pada produktiviti buruhnya yang jauh lebih tinggi berbanding negara jiran, lapor CNBC Indonesia.
“Produktiviti yang tinggi ini juga menandakan kualiti sumber manusia Malaysia yang semakin berdaya saing, terutamanya dalam sektor yang memerlukan kemahiran teknikal tinggi.
“Disebabkan itu, tidak hairan apabila pelabur global dalam industri seperti semikonduktor, elektronik, peralatan perubatan, bateri dan tenaga hijau memilih Malaysia sebagai lokasi strategik untuk kilang baharu dan peluasan kapasiti pengeluaran,” katanya.
Keupayaan tenaga kerja Malaysia dalam mengekalkan kualiti, kelajuan pengeluaran dan kestabilan operasi menjadikan negara ini lebih kompetitif berbanding banyak negara lain di rantau ini, termasuk dalam persaingan menarik pusat pembuatan dan kemudahan reka bentuk teknologi tinggi.
Sumber: CNBC Indonesia