Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

27 Tahun Keliling Dunia, Lelaki Dedah Dua Lokasi Paling Menyeramkan
Karl Bushby memulakan perjalanan panjangnya berjalan kaki mengelilingi dunia pada usia 29 tahun dari Punta Arenas, Chile. Difahamkan, tujuannya adalah untuk pulang ke kampung halamannya di United Kingdom.
Kini pada usia 56 tahun, dia hampir tiba di England, namun menghadapi cabaran terakhir yang agak luar biasa. Difahamkan, dia berkemungkinan perlu berenang merentasi Selat Inggeris dari Perancis.
“Berenang memang teruk. Saya bukan perenang dan saya tak suka,” katanya kepada CBS News seperti dilapor UNILAD.
Mengulas tentang perasaannya apabila hampir tiba di penghujung perjalanan, Bushby berkata dia berasa agak tidak selesa. Dia merasa seolah-olah seperti seseorang yang bakal menamatkan kerjaya panjang dan bersedia untuk bersara.
Dalam temu bual bersama wartawan CBS, Ramy Inocencio, Bushby turut berkongsi dua pengalaman paling menyeramkan sepanjang tempoh 27 tahun menjelajah dunia.
Pengalaman pertama berlaku pada 2000 ketika dia melintasi Darién Gap, iaitu kawasan hutan hujan tebal di sempadan Panama dan Colombia yang tidak mempunyai jalan raya.
Bushby menggambarkan situasi itu seperti berada di tengah-tengah zon perang, dengan kehadiran kartel, ladang dadah dan cabaran hutan yang sangat ekstrem.
Bushby juga pernah melintasi Bering Strait, kawasan laut antara Lautan Pasifik dan Artik, menjadikannya rakyat Britain pertama yang berjaya berbuat demikian.
Ketika itu, dia pernah berdepan detik cemas apabila terserempak dengan seekor beruang kutub.
“Anda berada di dunia yang sangat berbahaya. Jika tersilap langkah, ia boleh membunuh anda dalam 20 minit,” katanya.
Dalam wawancara berasingan bersama BBC Radio Humberside pada Jun lalu, Bushby berkongsi bahawa perjalanan panjang itu turut dipenuhi pelbagai kesukaran. Misalnya seperti masalah visa, krisis kewangan dan wabak pandemik.
“Ia sangat mencabar, tetapi saya tetap berpegang kepada perancangan tanpa kompromi terhadap laluan asal,” katanya.
Untuk info, disebabkan sekatan perjalanan, Bushby tidak dibenarkan melalui Rusia atau Iran. Keadaan itu sebelum ini memaksanya berenang merentasi Laut Caspian, menjadikannya individu pertama yang melakukannya.
Laut tersebut meliputi kawasan lebih 143,000 batu persegi dan bersempadan dengan lima negara iaitu Kazakhstan, Rusia, Turkmenistan, Azerbaijan dan Iran.
Setelah hampir tiga dekad berjalan melintasi benua, Bushby kini tinggal beberapa langkah lagi sebelum menamatkan misi pengembaraan yang dianggap antara paling ekstrem di dunia.
BACA: Gunung Berapi Hayli Gubbi Meletus Kali Pertama Dalam 12,000 Tahun