Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Bintang Mortal Kombat, Cary-Hiroyuki Tagawa Meninggal Dunia
Pelakon filem Mortal Kombat, Cary-Hiroyuki Tagawa dilaporkan meninggal dunia pada awal pagi Khamis.
Berita duka itu disampaikan oleh ahli keluarga mendiang dan dilaporkan oleh portal Deadline.
Menurut portal berkenaan, mendiang yang membintangi lebih 150 filem di sepanjang kariernya meninggal dunia akibat komplikasi selepas menghidap serangan strok.
Antara filem dan watak yang mengangkat nama bintang filem seni mempertahankan diri itu adalah peranan sebagai Shang Tsung dalam filem francais Mortal Kombat.
Beliau buat kali pertama terlibat dalam francais berkenaan pada 1995 dan kembali ke layar perak pada 1997 menerusi filem susulan, Mortal Kombat Annihilation.
Pada 2013, mendiang sekali lagi dijemput memegang watak berkenaan dalam siri televisyen Mortal Kombat: Legacy sebelum muncul dalam satu episod siri Mortal Kombat X: Generations sekitar tahun 2015.
Pada 2019, mendiang turut menyumbang suaranya dalam permainan video Mortal Kombat 11. Malah, ciri fizikalnya turut disumbangkan sebagai inspirasi watak dalam permainan video Mortal Kombat: Onslaught pada 2023.
Selain itu, suara mendiang pernah muncul dalam permainan video Soldier Boys, Batman: Rise of Sin Tzu dan World of Warcraft: Legion.
Mengimbau kembali, filem pertama Mortal Kombat mencatat kutipan lebih USD100 juta berbanding kos pembikinan sekitar USD20 juta.
“Filem itu hadir pada waktu yang tepat kerana permainan video Mortal Kombat ketika itu berada pada siri keempat atau kelima. Kejayaan filem tersebut turut menyumbang kepada perkembangan permainan videonya,” ujar mendiang menerusi satu wawancara terdahulu.
Selain francais Mortal Kombat, mendiang turut muncul dalam filem Tekken dengan memegang watak penting, Heihachi Mishima sekitar tahun 1991.
Dalam kerjaya seninya, mendiang semakin dikenali apabila terlibat sebagai pemandu maharaja bernama Chang dalam filem karya Bernardo Bertolucci, The Last Emperro.
Filem berkenaan menerima anugerah Oscar sebagai Filem Terbaik bagi tahun 1987.
Sumber: Deadline