Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

MDEC Perkasakan Pendidikan Digital SMK Sungai Pelek Melalui Program Sekolah Angkat Madani
SEPANG, Selangor, 19 Disember 2025 – Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) hari ini melancarkan Program Sekolah Angkat MADANI (SAM) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Pelek, menandakan komitmen berterusan untuk memperkasa ekosistem pendidikan digital negara, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI dan usaha menjadikan Malaysia sebagai Negara AI menjelang 2030.
Majlis pelancaran telah disempurnakan YB Tuan Lwi Kian Keong, Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Pelek, bersama YB Puan Michelle Ng Mei Sze, Setiausaha Politik kepada YB Menteri Digital.
Turut hadir bersama juga Encik Affandi Bin Hussin, Pengetua SMK Sg Pelek dan Encik Azlan Sharom, Naib Presiden, Bahagian Perkhidmatan Korporat MDEC.
Program SAM merupakan inisiatif nasional di bawah Kementerian Kewangan (MOF) dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif dan inklusif bagi murid-murid di seluruh negara.
Setakat ini, program ini telah disertai hampir 150 ketua kementerian dan agensi kerajaan, 90 syarikat swasta dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), serta melibatkan 800 buah sekolah yang telah dikenal pasti dan diluluskan oleh KPM untuk menerima manfaatnya.
Pelaksanaan SAM di SMK Sungai Pelek menandakan komitmen berterusan untuk memperkasa ekosistem pendidikan digital peringkat akar umbi.
Selaku rakan strategik, MDEC memperkukuh keupayaan digital SMK Sungai Pelek melalui pembangunan Digital Maker Space (DMS) – ruang pembelajaran teknologi yang dilengkapi dengan kit robotik, papan interaktif pintar, set kamera vlog, headset VR, pencetak 3D dan komputer riba bagi menyokong pembelajaran berasaskan projek serta memupuk kreativiti.
Selain penyediaan fasiliti, MDEC turut melaksanakan latihan teknologi digital kepada guru dan murid termasuk latihan integrasi PdP digital, bengkel inovasi bagi memastikan seluruh warga sekolah dapat menguasai kemahiran digital secara optimum.
MDEC juga telah mengiktiraf lebih 100 Digital Maker Space dan Hub di seluruh negara sebagai platform latihan dalam bidang pengaturcaraan, robotik, kecerdasan buatan dan kemahiran digital lainnya.
Inisiatif ini turut membuka peluang penyertaan murid dalam program pembangunan bakat MyDigitalMaker MDEC seperti NextGen Teen XChange – Girls Game Changer bersama UNICEF, serta National AI Quiz 2025 yang memberikan pendedahan awal terhadap kecerdasan buatan (AI) dan literasi digital.
Pelaksanaan Program SAM turut menyokong agenda Malaysia Digital (MD), iaitu inisiatif strategik nasional untuk menarik syarikat, bakat dan pelaburan berkualiti tinggi untuk pembangunan negara.
Melalui MD, MDEC memberi tumpuan kepada empat keutamaan: memperkasa inklusi digital, pembangunan bakat digital, memacu pertumbuhan perniagaan digital, dan memposisikan Malaysia sebagai Hab Digital ASEAN.
Trend digital negara menunjukkan keperluan mendesak terhadap pendidikan digital yang lebih meluas. Malaysia kini mencatat kadar penembusan internet mencecah 97.7 peratus dengan 34.9 juta pengguna, manakala 89 peratus pengguna internet menggunakan teknologi AI dalam rutin harian.
Ekonomi digital pula dijangka menyumbang sehingga 30 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang tahun 2030, selaras dengan aspirasi kerajaan untuk memperkukuh daya saing negara dalam era digital.
Menurut Anuar Fariz Fadzil, Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, “Program Sekolah Angkat MADANI bukan saja memperkukuh asas pendidikan digital, namun membuka peluang yang adil kepada setiap murid untuk meneroka teknologi, mengasah kreativiti dan membina keyakinan diri.
“MDEC percaya setiap murid mempunyai potensi besar untuk menjadi pencipta, inovator dan pemimpin masa depan dalam ekonomi digital negara.
“Dengan sokongan sekolah, guru, komuniti, dan rakan strategik, kita bersama-sama membentuk persekitaran pembelajaran yang progresif agar setiap pelajar diberi peluang untuk berjaya dan menjadi tonggak generasi masa depan.”
Pelaksanaan Program Sekolah Angkat MADANI menandakan langkah penting dalam usaha Malaysia membina generasi celik digital dan bersedia menghadapi cabaran ekonomi masa depan.
MDEC akan terus bekerjasama dengan kementerian, sekolah dan rakan industri bagi memastikan setiap murid mendapat akses kepada teknologi dan peluang yang setara.
Untuk maklumat lanjut mengenai inisiatif pendidikan digital MDEC, sila layari www.mdec.my.