Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Tito Karnavian Mohon Maaf, Nafi Remehkan Bantuan Dari Malaysia
Menteri Dalam Negeri Indonesia (Mendagri), Tito Karnavian membuat permohonan maaf secara terbuka susulan kenyataannya baru-baru ini yang dianggap meremehkan bantuan dari Malaysia.
Memetik laporan Wartakota, Tito menegaskan bahawa beliau tidak mempunyai sebarang niat untuk memperkecilkan makna solidariti dan sokongan yang dihulurkan oleh Malaysia.
Permohonan maaf itu disampaikan selepas pelbagai reaksi timbul daripada masyarakat dan warganet yang menganggap ucapannya kurang sensitif ketika negara itu sedang berdepan suasana duka akibat bencana.
Beliau mengakui bahawa kenyataannya itu boleh disalahertikan dan memberi gambaran bahawa ia tidak selaras dengan niat sebenarnya.
“Kenyataan saya mungkin telah disalahertikan. Saya tidak pernah bermaksud untuk memperkecilkan bantuan dan sokongan daripada rakyat Malaysia kepada Aceh. Itu sama sekali bukan niatnya. Jika ada yang salah faham, saya memohon maaf,” katanya.
Tito menjelaskan bahawa secara peribadi dan profesional, beliau mempunyai hubungan yang panjang dan rapat dengan Malaysia.
Beliau menjelaskan bahawa ikatan ini terjalin semasa beliau menjadi pengawai Polis Negara, terutamanya semasa penglibatannya dalam pengendalian pengeboman Bali 2001.
Dalam tempoh itu, Tito sering bekerjasama dengan pelbagai institusi keselamatan Malaysia iaitu daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) hinggalah Cawangan Khas.
Menurutnya, kerjasama rentas negara ini bukan sekadar hubungan formal antara pegawai tetapi juga membina keakraban emosi yang kuat.
Disebabkan pengalaman panjang inilah membuatkannya benar-benar menghargai setiap bentuk solidariti dan bantuan yang diberikan Malaysia kepada Indonesia, termasuk dalam situasi bencana di Aceh.
Sebagai Menteri Dalam Negeri, Tito juga menekankan kepentingan hubungan baik antara Indonesia dan Malaysia, terutamanya dalam konteks kemanusiaan dan pengurusan bencana.
Beliau percaya bahawa bantuan antarabangsa daripada negara-negara jiran dan komuniti global adalah satu bentuk solidariti yang harus dihargai, bukan dipersoalkan.
Permohonan maaf Tito dijangka meredakan polemik dan menekankan komitmen kerajaan Indonesia untuk mengekalkan hubungan diplomatik yang harmoni dengan Malaysia.
Di tengah-tengah usaha pemulihan pasca bencana di Aceh, Tito menyeru semua pihak untuk menumpukan semula perhatian kepada kebimbangan utama, iaitu keselamatan, pemulihan dan kesejahteraan mangsa.
Sumber: Wartakota